Selangorkini
SELANGOR

Empat stesen LRT di Puchong mula operasi hari ini

OLEH : AFIX REDZUAN

PUCHONG, 31 MAC: Kumpulan Prasarana Berhad (PRASARANA) meluaskan perkhidmatan tren RapidKL bagi jajaran Sri Petaling dengan pengenalan empat stesen baru yang memulakan operasi hari ini.

Empat stesen berkenaan adalah IOI Puchong Jaya, Pusat Bandar Puchong, Taman Perindustrian Puchong dan Bandar Puteri.

LRT PUCHONGTiga daripada empat stesen berkenaan turut menempatkan 952 petak pakir awam untuk pengguna.

Tinjauan Selangor Kini mendapati, kekerapan ketibaan tren dianggarkan sekitar 2.5 minit pada waktu puncak sementara 5 minit pada waktu biasa.

Pengguna juga digalakkan menggunakan kad Touch ‘N Go atau mengaktifkan pakej ‘Smart 30’ untuk kad MyRapid bagi menikmati ganjaran hebat menggunakan perkhidmatan tren RapidKL.

Selangor Kini berpeluang menaiki tren untuk menikmati sendiri perkhidmatan jajaran baru yang diperkenalkan bersama wakil PRASARANA selain bertemu beberapa pengguna pada hari pertama operasi.

VP 1Wong Soo Soon, 40, ketika ditemui gembira akhirnya perkhidmatan tren yang dinantikan sejak sekian lama memulakan operasi hari ini.

“Saya gembira akhirnya tren ini beroperasi. Saya lebih suka menggunakan pengangkutan awam seperti tren untuk ke pusat bandar,” katanya.

Soo Soon mengakui sebelum ini beliau terpaksa memandu dan menempuh kesesakan trafik yang lama di Puchong sejak menetap hampir tiga tahun di kawasan itu.

Perasaan sama turut dikongsikan Puteri Noraini Megat Abdul Rahim, 36 yang bekerja berhampiran stesen IOI Puchong Jaya.

VP2Bagi John Lee, 35, beliau mengambil kesempatan membawa keluarga bersiar-siar menggunakan tren untuk melihat lebih dekat jajaran baru ini.

“Saya sudah berjanji untuk membawa anak menaiki tren selepas ia siap. Jadi, inilah harinya.

“Saya puji inisiatif ini bagus untuk mengurangkan kesesakan trafik dan diharapkan lebih ramai yang akan menggunakan pengangkutan awam,” katanya yang tinggal di Pusat Bandar Puchong.

-nR-


Pengarang :