KHUTBAH JUMAAT: Mengingati mati menyucikan jiwa | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang


KHUTBAH JUMAAT: Mengingati mati menyucikan jiwa

Khutbah Jumaat 18 Mac 2016: “Mengingati Mati Menyucikan Jiwa”

Disediakan oleh: Jabatan Agama Islam Selangor

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,


Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat
yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah SWT
dengan sebenar-benar taqwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan
menjauhi segala larangan-Nya, mudah-mudahan kita berbahagia di dunia
dan di akhirat.
Hadirin Jumaat sekalian,

kuburKeseronokan hidup di dunia akan tergugat dengan datangnya Malaikat Maut yang mencabut roh dari jasad dan berakhirlah segala kesenangan,
kemewahan dan berpisahlah dari orang yang kita kasihi.

Mati membuktikan kepada kita bahawa pada hakikatnya kita tidak pernah memiliki sesuatu pun.

Mati juga membangun dan menyedarkan kita daripada angan-angan yang
panjang mengenai nikmat hidup yang tidak berkekalan. Kehidupan dunia
adalah permainan, kehidupan sebenarnya adalah bermula di akhirat.

Keyakinan kepada alam barzakh mampu menyedarkan manusia untuk
bertanggungjawab dalam menjalani kehidupan sekarang ini untuk menempuh
perjalanan hidup di akhirat.

Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 32

“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan Yang
sia-sia dan hiburan Yang melalaikan; dan Demi Sesungguhnya negeri akhirat
itu lebih baik bagi orang-orang Yang bertaqwa. oleh itu, tidakkah kamu mahu
berfikir?”.

Sidang hadirin sekalian,

Syeikh Said Hawwa Rahimahullah telah menyatakan bahawa mengingati mati sebagai salah satu cara berkesan untuk menyucikan jiwa manusia dari kotoran sifat Mazmumah.

Dengan mengingati mati, bukan sahaja boleh menimbulkan rasa sesal di atas dosa yang dilakukan, malah ia boleh melahirkan ketakutan untuk meneruskan perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA bahawasanya Rasulullah SAW telah ditanya;

“Siapakah dikalangan mukmin yang paling bijak? Rasulullah SAW
bersabda; “Mereka yang paling banyak mengingati mati dan yang paling baik
persediaannya untuk selepas daripada mati, mereka itulah orang-orang yang
bijak”.
(Riwayat Ibnu Majah).

Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullah, manusia terbahagi kepada
dua golongan apabila berhadapan dengan kematian;

Pertama: Golongan yang tenggelam dengan dunia dan hiburan serta
kemewahan. Mereka ini amat takut dengan mati kerana terlalu kasih dan
cintakan dunia.

Kalau boleh mereka tidak mahu langsung ingatkan mati. Kalau ingat pun mereka akan berusaha mengeluarkan tenaga dan wang ringgit untuk memastikan boleh hidup lama, serta terlalu bimbang memikirkan bagaimana hartanya akan digunakan oleh anak-anaknya nanti.

Kedua: Golongan yang apabila terdengar tentang kematian atau
tazkirah yang bersangkutan dengan kematian akan timbul rasa takut dan
bimbang akan nasib di alam kubur. Kesannya mereka akan bertaubat dan
berusaha menjauhkan diri dari maksiat dan mendekatkan diri kepada Allah
Taala.

Dalam masa yang sama mereka tidak meninggalkan dunia kerana
mengingati mati itu menjadikan mereka sangat mengambil berat tentang
ibadah dan ilmu pengetahuan.

Hasilnya mereka memahami Islam yang sebenar yang menyuruh umatnya bekerja untuk dunia dan akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Diriwayatkan bahawa Ibnu Mu’ti, apabila tercetus di dalam hatinya
tentang rasa kagum melihat rumah besar dan harta benda, terus sahaja ia
menangis dan berkata: “Kalau tiada kematian, aku akan mencintai mu dan
gembira sekali dengan rumah besarku.

Andai kita tidak memasuki lubang kubur yang sempit, tentu mata kita akan terpesona selalu dengan kemewahan duniawi”.

Imam Syaddad Rahimahullah pernah berkata: “Kematian itu adalah
sesuatu yang paling menakutkan bagi mukmin di dunia, maut lebih sakit dari
digunting, digergaji dan dicampak ke dalam kawah yang menggelegak.

Andaikata mereka yang telah meninggal dunia dibangkitkan dan
menceritakan kepada orang yang hidup, nescaya tiada orang yang
mengambil berat tentang dunia dan tiada yang akan dapat tidur lena”.

Oleh itu, sebagai contoh, Khalifah Umar b Abdul Aziz yang terkenal
sebagai pemimpin yang kuat pegangan agamanya boleh dikatakan saban
minggu menjemput para ulamak berhimpun di istananya untuk memberikan
tazkirah kepadanya tentang kematian.

Setiap ulama diberikan kebebasan menegur dan menyentuh tentang keperitan mati dan azab di alam barzakh.

Biasanya majlis itu akan diakhiri dengan tangisan khalifah kerana beliau
bimbang dan takut akan azab yang menunggu sekiranya berlaku sebarang
kezaliman di dalam pemerintahannya.

Hasilnya pemerintahan Khalifah Umar bin Abd Aziz sebagai ketua
agama Islam dizamannya telah berjaya menegakkan kembali kegemilangan
pemerintahan Islam di zamannya meskipun hanya berkuasa selama dua
setengah tahun.

Setiap hari ada sahaja maksiat yang dihapuskan dan syariat yang ditegakkan. Natijahnya maksiat terus berkurangan manakala syariat Islam dapat dilaksanakan dalam tempoh yang singkat.

Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Untuk mengingati mati supaya jiwa kita sentiasa suci dan bersih,
marilah kita mengambil langkah-langkah berikut:

1. Ingat kepada rakan atau sahabat yang telah meninggal dunia. Mungkin umur mereka sebaya dengan kita atau penyakit mereka sama dengan kita, oleh itu bila pula Malaikat maut akan menjemput kita.

2. Ingat bagaimana keadaan mereka meninggal dunia. Ada yang disebabkan penyakit buah pinggang, darah tinggi, kencing manis atau lemah jantung.
Cuba tanya diri kita, apakah kita betul-betul sihat dan tidak akan menghidapi penyakit seperti ini. Atau ada yang ditimpa kemalangan tiba-tiba.

Apakah kita boleh terselamat dari kemalangan seumpama ini?.

3. Bayangkan kehidupan mereka sebelum mati. Ada yang meninggal dalam keadaan baik kerana penghujung hayatnya ia menjadi ahli masjid dan dekat dengan Allah Taala. Ada yang kita dapat lihat jenazah dengan wajah yang tenang bertemu dengan Allah Taala.

Ada juga sahabat yang meninggal tetapi hayatnya penuh dengan maksiat. Lihatlah wajahnya yang penuh dengan tanda azab dan kengerian.

4. Ziarahi orang yang sakit dan nazak. Lihat bagaimana azabnya
sakaratul maut dan betapa seksanya berhadapan dengan saat kematian.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Akhirnya, sedarlah bahawa kematian pastinya akan menjenguk kita.

Samada kita pemimpin atau rakyat, kaya atau miskin, tua atau muda, sihat
atau sakit. Oleh itu segeralah bertaubat. Bagi yang sering melakukan maksiat
seperti minum arak, meninggalkan solat, berzina , rasuah, berjudi dan
sebagainya maka tinggalkanlah segera sebelum terlambat.

Agar tidak menyesal apabila dimasukkan ke dalam liang lahad kelak. Selesaikanlah segala tanggungjawab dan kewajipan kita.

Hutang kepada Allah dan Rasulnya, juga sesama manusia hendaklah diselesaikan sebelum kematian menjemput kita. Semoga dengan mengingati kematian dan sentiasa bersedia menghadapinya, boleh menyucikan hati dan jiwa kita semua.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

JOIN THE DISCUSSION