Selangorkini
SELANGOR

KSSB bantu masyarakat di kawasan operasi

OLEH: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 MAC: Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) tidak memikirkan keuntungan semata-mata tetapi turut memainkan peranan secara aktif bagi membantu masyarakat di kawasan operasinya meningkatkan taraf ekonomi kehidupan.

Ketua Penyelaras Excom KSSB, Abdul Rahman Ishak, berkata antara tanggungjawab sosial koporat (CSR) dijalankan termasuk memberi sumbangan setiap bulan kepada penduduk dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di beberapa perkampungan di sepanjang laluan ke kawasan operasi KSSB.

Terbaru, KSSB menghulurkan sumbangan penajaan sebanyak RM30,000 bagi membantu pelumba OA Racing, Azrul Affendi Hadi mengharungi perlumbaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2016.

Ketua Penyelaras Excom, Abdul Rahman Ishak“Penajaan untuk OA Racing ini adalah disebabkan KSSB beroperasi di Kampung Labuhan Dagang di mana kami ada operasi cuci gali sungai di sana.

“Tatacara operasi itu kami melalui perkampungan Orang Asli. Jadi, kami beri sumbangan kepada masyarakat di situ sejak awal 2015 dan pada masa itu kami diintai Tok Batin Kampung Paya Rumput bagaimana kami boleh kembangkan sukan pemotoran melibatkan Azrul Affendi. Di sinilah bermulanya titik tolak penajaan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini pada Majlis Penyampaian Majlis Penyampaian Tajaan Kepada Azrul yang diadakan di Pejabat Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Selangor di Bangunan Darul Ehsan, semalam.

Katanya, selain itu KSSB turut membayar gantirugi kepada tiga penduduk yang menggunakan tanah milik Kerajaan Negeri untuk mengusahakan tanaman kelapa sawit.

KSSB  2“Sewaktu operasi di kawasan ini, ada beberapa penduduk kampung mengguna tanah Kerajaan Negeri dengan menanam kelapa sawit dan atas dasar KSSB mahu menggunakan tanah itu, kami membayar gantirugi kepada tiga penduduk tersebut.

“Saya berharap syarikat milik Kerajaan Negeri yang lain juga melihat masyarakat persekitaran tempat mereka beroperasi tanpa ketepikan masyarakat Orang Asal dan masyarakat kampung tradisi,” katanya.

-nR-


Pengarang :