Selangorkini
SELANGOR

MB ziarah keluarga Aminulrasyid

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 MAC: Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menziarahi keluarga Allahyarham Aminulrasyid Amzah bagi memberikan sokongan moral susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membenarkan tuntutan ganti rugi selepas menanti hampir tiga tahun.

Ketibaan beliau bersama Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail disambut ibu Allahyarham, Norsiah Mohamad di kediamannya di Jalan Mak Yong 11/2G, Seksyen 11 Shah Alam.

Mohamed Azmin dan tetamu Kerajaan Negeri meluangkan masa hampir setengah jam bersama keluarga Allahyarham.

MB ZIARAH“Kita datang untuk menziarahi keluarga Allahyarham yang telah terkorban dalam satu insiden sekitar enam tahun lalu untuk menyatakan sokongan moral kepada mereka.

“Sudah pasti ini satu kehilangan besar kepada keluarga. Saya dan Datuk Seri Dr Wan Azizah menyatakan sokongan kepada ibu beliau serta keluarganya.

“Kita mendoakan semoga roh Allahyarham mendapat khusnul-khatimah, pengakhiran yang baik dan ditempatkan di dalam syurga, InsyaAllah,” katanya.

Jelas beliau, keputusan mahkamah itu memggembirakan semua pihak kerana membersihkan nama Allahyarham Aminulrasyid dan maruah keluarganya.

“Ini bukan soal pampasan yang ditetapkan mahkamah, tetapi ini adalah maruah keluarga beliau dan Allahyarham sendiri difitnah sebagai seorang penjenayah,” katanya.

Hadir sama Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Dr Daroyah Alwi, Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail serta peguam keluarga, N Surendran dan Lateefa Koya.

AMINULRASHIDMahkamah Tinggi Shah Alam semalam mengumumkan ganti rugi RM414,800 termasuk RM100,000 bagi kemungkiran awam yang dilakukan oleh Khalid yang ketika itu Ketua Polis Selangor selain memerintahkan defendan membayar kos RM50,000.

Kakak Allahyarham Nor Azura, 46, memfailkan saman pada 17 April 2013 atas kapasiti sebagai pentadbir harta Aminulrasyid, bersama ibunya, Norsiah Mohamad, 67, masing-masing sebagai plaintif pertama dan kedua untuk menuntut ganti rugi atas alasan kecuaian Koperal Jenain Subi, 54, dan tiga yang lain.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dalam penghakimannya berkata, pihak plaintif berjaya membuktikan bahawa Jenain merupakan anggota polis yang melepaskan tembakan ke arah kereta dinaiki Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di Shah Alam pada pagi 26 April 2010.

-nR-


Pengarang :