Selangorkini
SELANGOR

MDHS disaran tangguh sistem letak kereta berbayar

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 MAC: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) disarankan menangguhkan pelaksanaan sistem letak kereta berbayar sehingga memperolehi pilihan lebih baik dan tidak membebankan rakyat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bahru, Lee Kee Hiong, berkata beliau kesal dengan kenyataan MDHS berhubung isu pelaksanaan parkir berbayar di pekan itu.

Katanya beliau terkejut apabila MDHS kononnya terpaksa menanggung kerugian kepada syarikat konsesi bernilai jutaan ringgit.

bukit beruntung2“Syarikat mendapat keuntungan tanpa melaksanakan perkhidmatan sekiranya sehingga tamat tempoh perjanjian MDHS masih belum melaksanakan sistem letak kereta berbayar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mempersoalkan perjanjian ditandatangani MDHS pada 1999 bagi tempoh 20 tahun itu seolah-olah berat sebelah dan tidak dilakukan demi kepentingan awam.

“Adakah tempoh konsesi selama 20 tahun dalam perjanjian itu berkuatkuasa pada tarikh pelaksanaan dan bukannya tarikh perjanjian ditandatangani.

“Seterusnya, memandangkan MDHS tidak melaksanakan sistem letak kereta berbayar itu pada 17 tahun lepas. Adakah ini bermaksud sekiranya ia dilaksanakan pada tahun ini maka ianya hanya tamat pada 2036?,” soalnya.

Katanya, persoalan itu perlu mendapat penerangan jelas dan semua pihak berhak mengetahui perjanjian konsesi terbabit.

“Saya menulis surat kepada Dato’ Menteri Besar memohon agar Kerajaan Selangor membuat pengelasan semula atau melaksanakan pengklasifikasian semula terhadap status perjanjian konsesi agar perjanjian itu.

“Kita mahu dokumen perjanjian itu tidak lagi tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, seterusnya memberi akses kepada awam untuk mengetahui dan membuat penilaian terhadap keseluruhan isi kandungan perjanjian konsesi,” katanya.

Beliau berkata dengan mengkelaskan semula dokumen itu, orang ramai dapat meneliti semua aspek perjanjian konsesi itu dan memberi pandangan atau cadangan terbaik bagi mengelakkan MDHS mengalami kerugian besar.

Katanya, beliau sentiasa menyokong MDHS mendapatkan bantuan Kerajaan Negeri apabila merasa keberatan menampung kos perkhidmatan pembersihan berjumlah RM146,100 sebulan iaitu RM1.68 juta setahun.

“Difahamkan lebih 2,000 penduduk sekitar Kuala Kubu Bharu membantah pelaksanaan sistem letak kereta berbayar di pekan Kuala Kubu Bharu.

“MDHS perlu menjadi PBT peduli rakyat, mengambil kira pandangan ramai dan lebih mesra apabila hendak melaksanakan sesuatu dasar baru,” katanya.

EZY


Pengarang :