Selangorkini
NASIONAL

Najib hina Dewan, anggap seperti ‘Rubber stamp’ – Rafizi

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 23 MAC : Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan rang undang-undang Belanjawan Tambahan selepas peruntukan tambahan dibelanjakan dianggap penghinaan kepada Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, berkata sudah menjadi kelazimannya apabila amalan itu diluluskan walaupun wujud desakan supaya tindakan itu dihentikan sebelum ini.

Rafizi“Ia satu penghinaan kepada Dewan Rakyat apabila Perdana Menteri dan Menteri Kewangan seolah-olah melihat Dewan Rakyat sebagai rubber stamp.

“Amalan meluluskan peruntukan tambahan dibelanjakan berlarutan sejak sekian lama. Saya merasakan ia perlu dihentikan segera,” katanya dalam kenyataan di Parlimen hari ini.

Semalam, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan membentangkan perbelanjaan tambahan RM3.3 bilion melalui pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Disatukan yang dibentangkan Kementerian Kewangan.

Daripada jumlah itu, RM2.3 juta adalah peruntukan kepada Kumpulan Wang Terkanun, termasuk RM240 juta bagi menampung pemberian kekurangan akaun mengurus dan Kumpulan Wang Pendahuluan negeri.

Manakala, RM575 juta diperuntukkan bagi Kementerian Kesejahteraan Bandar dan Perumahan bagi tujuan pengurusan sisa dan pembersihan awam.

Bercakap lanjut, Naib Presiden KEADILAN itu berkata, kajian terhadap sistem perundangan di bawah Peraturan Dewan Rakyat akan difailkan di Dewan Rakyat agar amalan ini dihentikan.

“Ada dua bentuk tindakan boleh dipertimbangkan iaitu memfailkan Rang Undang-Undang Persendirian atau mefailkan usul supaya Peraturan Dewan Rakyat atau akta sedia ada dipinda untuk menghalang amalan ini,” katanya.

-nR-


Pengarang :