NASIONAL

PRU13: Umno BN didakwa langgar peraturan SPR

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Barisan Nasional (BN) didakwa melanggar peraturan ditetapkan Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) apabila membelanjakan lebih daripada RM1.5 bilion dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Naib Presiden KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin, berkata berdasarkan peraturan SPR, perbelanjaan seseorang calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah RM100,000 manakala calon Parlimen RM200,000.

SHAMSUL ISKANDAR“Jika kiraan kasar dibuat bagi setiap kerusi ditandingi Umno BN dalam PRU13 lalu adalah 500 kerusi DUN iaitu RM50 juta dan 222 parlimen (RM44.4 juta) dengan jumlah keseluruhan RM94.4 juta.

“Maka apakah kewajaran dan keperluan Umno BN untuk berbelanja lebih dari RM1.5 bilion dan ia tidak menyalahi peraturan pilihan raya sebagaimana ditetapkan SPR?.

“Jumlah itu adalah teramat besar serta mencecah 16 kali ganda dari jumlah dibenarkan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Shamsul berkata, pengakuan dibuat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron bahawa Umno BN membelanjakan lebih dari RM1.5 bilion dalam PRU13 lalu amat mengejutkan.

Katanya, ia bercanggah dengan kenyataan mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebelumnya yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan parti itu hanya membelanjakan RM1.5 bilion.

SPR“Undang-undang dan garis panduan ditetapkan jelas dilanggar secara terbuka Umno-BN dan ia diakui sendiri pemimpinnya.

“Sehubungan itu, KEADILAN menuntut penjelasan rasmi daripada SPR berkenaan perkara ini iaitu apakah tindakan Umno-BN dalam PRU13 lalu boleh dianggap sebagai satu bentuk korupsi dengan menggunakan wang membeli undi rakyat?” soalnya.

Mengikut Seksyen 19 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, calon bagi setiap kerusi DUN dan Parlimen masing-masing tidak boleh berbelanja melebihi had ditetapkan.

Jika didapati bersalah, mereka boleh dihukum denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di mana terbatal kelayakan sebagai wakil rakyat dan kehilangan hak.

-AA-


Pengarang :