Selangorkini
SELANGOR

Selangor Fruits Valley dibuka November, fokus kembalikan kegemilangan

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 22 MAC : Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) giat memfokuskan usaha mengembalikan kegemilangan Selangor Fruits Valley, kata Pengerusinya Tamby Omar Mohammed.

Beliau berkata, pihaknya memberi tumpuan kepada usaha penambahbaikan dan pemuliharaan ladang terbabit bagi tujuan pembangunan industri agro-perlancongan di kawasan itu.

Selangor Fruit ValleyLebih menarik katanya, ladang buah-buahan itu juga bakal dibuka kepada umum November ini sekaligus menjadikan pusat terbabit sebagai pusat penanaman hasil tanaman buah-buah terbesar di Selangor.

“Adalah menjadi hasrat kami bahawa Selangor Fruits Valley akan membuka lembaran baru dengan memberi fokus kepada sektor agro-perlancongan.

“Jangkaan kita bulan Oktober akan dilancarkan secara rasmi dan mula menerima pengunjung pada November musim cuti sekolah nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, semalam.

FRUITS VALLEY1Selangor Fruit Valley berkeluasan 2,000 ekar dikenali masyarakat setempat sebagai dusun buah-buahan yang terletak di Rawang.

Ia pernah dikenali antara pusat tanaman buah-buahan terbesar di Malaysia.

Tamby Omar berkata dusun buah-buahan itu juga bakal menyediakan tarikan terbaru kepada pengunjung antaranya tanaman rempah ratus, herba serta lawatan sekitar tanaman buah-buahan.

Bagaimanapun katanya, inisiatif itu dapat dilaksanakan sekiranya Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan tertentu untuk tujuan itu.

“Kita memohon jasa baik daripada Kerajaan Negeri melalui peruntukan pada tahun ini, untuk menampung kos pembelian serta pemulihan dan penambahan bangunan berjumlah RM300,000,” katanya.

EZY


Pengarang :