Selangorkini
SELANGOR

Selangor rangka kaedah baru tangani kilang haram

OLEH: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 MAC: Kaedah baru bagi menangani masalah kilang haram secara holistik sedang dirangka Kerajaan Negeri.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, berkata kaedah baru bagi tempoh lima tahun itu membabitkan pengurangan insentif secara berperingkat dan memberi kebenaran merancang dan pelan bangunan khas.

Katanya, sebelum ini Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) juga bersetuju melanjutkan Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran sehingga 31 Disember 2015.

Ean Yong Hian Wah“Sebelum ini, kita sudah membantu pekilang meneruskan operasi sementara membuat permohonan, malangnya masih ramai belum memohon.

“Sebab itu kita perlukan inisiatif baru bagi memberi tekanan kepada mereka.

“Premis tidak memohon bakal diambil tindakan penguatkuasaan,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong, Ng Tien Chee berhubung usaha menangani masalah kilang haram selepas beberapa kali dilanjutkan tempoh pemutihan.

Menjawab soalan lain, Ean Yong yang juga ADN Seri Kembangan berkata, tiada jawatankuasa khas di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) diwujudkan untuk fokus kepada isu kilang haram.

“Isu ini tertakluk di bawah bidang kuasa Jabatan Bangunan di setiap PBT dan kita yakin mereka menjalankan tugas dengan baik berdasarkan aduan pekilang yang seringkali menerima notis dan saman,” katanya merujuk kepada soalan tambahan ADN Rawang, Gan Pei Nei.


Pengarang :