Selangorkini
SELANGOR

Sultan gembira usaha Kerajaan Negeri bantu rakyat

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 28 MAC: Pelaksanaan inisiatif kepada rakyat antaranya bas dan Wifi Smart Selangor serta program HIJRAH mendapat perkenan
DYMM Sultan Selangor.

Malah, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj gembira dengan langkah yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri itu.

Dalam titah Baginda Sultan di Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke 13 itu, Baginda Sultan berharap agar program terbabit diteruskan untuk membawa lebih ramai rakyat keluar daripada kemiskinan.

DNS 2016“Beta berkenan Kerajaan Negeri meluluskan dana sebanyak RM100 juta bagi program HIJRAH mengupayakan perniagaan.

“Lebih daripada 18,000 peniaga mendapat manfaat yang membabitkan pembiayaan sebanyak RM92 juta.

“Rakyat beta bergembira dengan langkah Kerajaan Negeri meluluskan RM10 juta untuk memperluaskan perkhidmatan Bas Smart Selangor ke kawasan luar bandar,” titah Baginda Sultan.

Sehingga kini, terdapat 41 buah Bas Smart Selangor yang beroperasi dalam kawasan perbandaran dengan mempunyai kemudahan mesra orang kurang upaya  (OKU) di Klang, Shah Alam, Subang Jaya, Ampang Jaya, Kajang dan Petaling Jaya.

Baginda Sultan turut menzahirkan kegembiraan apabila Kerajaan Negeri prihatin dengan mengecualikan cukai taksiran 2016 bagi pemilik rumah kos rendah dan pengecualian bayaran lesen bagi peniaga gerai dan pasar.

“Beta sangat gembira dengan usaha ini. Sebanyak RM64 juta dinikmati rakyat beta dari pengecualian ini,” titah Baginda Sultan.

Titah Baginda Sultan lagi, pelaksanaan wifi bukan sahaja memberi impak meningkatkan kepunyaan digital tetapi juga membantu usahawan memajukan perniagaan melalui e-dagang yang dimajukan oleh Selangor Information Technology & E-Commerce Council (SITEC).

“Pelaksanaan semua inisiatif memudahkan rakyat ini sememangnya menepati seruan berlaku adil dan berbuat ihsan.

“Prinsip keadilan dalam pengagihan ini amat penting supaya kekayaan negeri dapat dinikmati sekalian rakyat beta dan kekayaan tidak berlegar di kalangan golongan tertentu sahaja,” titah Baginda Sultan.

EZY


Pengarang :