Selangorkini
NASIONAL

19 Ketua Kampung Sarawak rasa tertipu, lapor polis isu tanah adat

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 APR: 19 Ketua Kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri N31 Layar, hari ini membuat laporan polis dan rasa tertipu selepas mendapati pihak bertanggungjawab melaksanakan kerja mengukur tanah adat mereka di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sarawak, Baru Bian, berkata pelaksanaan kerja mengukur tanah di Seksyen 6 bukan sahaja menyebabkan geran tidak dikeluarkan kepada penduduk kampung terlibat, malahan turut menghadkan kawasan tanah mereka.

baru-bian“KEADILAN bersama mereka membuat laporan polis di Balai Polis Betong kerana ditipu mengenai sukatan tanah di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak yang mereka tidak tahu mengenainya dan ini adalah kerja Barisan Nasional (BN) di kawasan ini.

“Seksyen 6 memang kita dah bantah lama dahulu kerana sepatutnya tanah mereka disukat di bawah Seksyen 18 kerana seksyen itu akan mengesahkan tanah mereka adalah tanah adat dan geran boleh dikeluarkan tetapi Seksyen 6 hanya disukat di kawasan sekitar perkampungan rumah panjang tetapi tidak sah sebagai geran.

“Mereka tak diberitahu kenapa diukur di bawah Seksyen 6, apa makna dan kesannya juga mereka tak tahu. Bila saya terangkan, mereka terkejut dan marah,” kata Baru Bian ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Katanya, langkah mengukur tanah di bawah Seksyen 6 turut dilihat sebagai satu kajian dan cubaan menghadkan tanah adat penduduk asal walaupun mahkamah sudah mengesahkan hak penduduk asal ke atas tanah terbabit.

Katanya, tindakan itu juga menjejaskan punca rezeki penduduk di kampung terlibat ekoran kawasan sumber mencari rezeki seperti memburu menjadi terhad.

-NFN-


Pengarang :