Selangorkini
SELANGOR

ABASS terima Anugerah MyCarbon Award 2015

SHAH ALAM 5 APR: Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS) menerima Anugerah MyCarbon Award 2015 anjuran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dengan kerjasama United Nations Development Programme (UNDP) baru-baru ini.

Pengarah ABASS, Ir. Abas Abdullah, berkata anugerah itu secara tidak langsung mengiktiraf kekuatan syarikat dalam menyediakan inventori gas rumah hijau dan pencapaian laporan mengikut piawai antarabangsa.

Katanya, ia juga membuktikan komitmen syarikat dan peranan dimainkan dalam menguruskan gas rumah hijau dengan lebih berkesan dilaksanakan dengan jaya malah mampu menjadi contoh kepada syarikat lain.

“ABASS melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha memastikan pengurangan gas rumah hijau daripada semua operasi dan pengurusan syarikat.

“Kita menguruskan penggunaan tenaga dalam operasi, menjalankan kerja menaiktaraf peralatan kepada peralatan mempunyai kadar penggunaan elektrik lebih efisien dan program galakan budaya kerja hijau di semua peringkat pengurusan,” katanya.

MyCarbon Award 2015 adalah anugerah terulung dalam merangsang dan menyokong pembangunan lestari berlandaskan pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan perlindungan alam sekitar.

Menurut Ir. Abas, ABASS juga mengadakan kerjasama erat bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) serta menubuhkan Pasukan Penjagaan Pencemaran Sungai.

Ia bagi memastikan pengaliran air ke Sungai Semenyih sentiasa dipantau supaya tiada pencemaran berlaku dan kualiti air sentiasa terjaga serta bebas dari sebarang bahan kimia.

“Kejayaan mengekalkan Indeks Kualiti Air Mentah pada tahap dua memastikan penggunaan bahan kimia optimum dan pengeluaran enap cemar terkawal sekaligus meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau,” katanya.

Selain anugerah ini, ABASS juga menerima pengiktirafan seperti Anugerah Prime Minister Hibiscus Award, MSOSH, Anugerah Kecemerlangan Keselamatan dan Kesihatan Kebangsaan, MSC Malaysia HR Achievement dan The Malaysian Book of Records.
EZY


Pengarang :