Selangorkini
NASIONAL

Dakwaan cuba ‘berlakon’, Rafizi pertimbang saman IGP

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 10 APR : Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli bersedia mengambil tindakan saman terhadap Ketua Polis Negara sekiranya wujud dakwaan berterusan menuduh dirinya cuba berlakon digari ketika ditahan minggu lalu.

Beliau berkata isu tersebut sengaja dipolitikkan sedangkan tindakannya meletakkan tangan di belakang seolah-olah digari merupakan sebahagian standard operasi piawai (SOP) yang dikenakan terhadapnya.

12928213_1144953458872493_2224023511784704948_nBagaimanapun kata Rafizi, isu tersebut diperbesarkan-besarkan pihak tidak bertangunggjawab bagi tujuan mengalih perhatian isu yang lebih utama membabitkan penyelewengan 1MDB dan penyalahgunaan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Saya tidak perlu berlakon untuk meraih simpati rakyat kerana sebahagian besar rakyat bersama-sama saya selagi pentadbiran Perdana Menteri berterusan menekan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini beberapa keping gambar tersebar di media sosial yang mendakwa Rafizi cuba berlakon seperti digari ketika diiringi polis selepas ditahan kerana mendedahkan dokumen di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Susulan itu, Tan Khalid Abu Bakar beranggapan tindakan itu sebagai ‘cerita dongeng’ dan menafikan prosuder tersebut sebagai sebahagian SOP pihak polis.

“Diharap IGP tidak mengulangi kenyataan memberi gambaran saya berbohong atau berlakon mengenai peristiwa gari dipolitikkan sebelum ini.

“Jika beliau mengulanginya, maka saya rujuk perkara itu kepada peguam saya memulakan tindakan undang-undang,” katanya.

EZY


Pengarang :