Selangorkini
Ilustrasi kebakaran hutan
SELANGOR

Kebakaran hutan simpan Kuala Langat Selatan semakin berkurang

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 20 APR: Kebakaran di hutan simpan kekal Kuala Langat Selatan, Kuala Langat, dekat sini, sejak akhir Mac lalu dikatakan semakin terkawal dan selamat.

Perkembangan itu petanda positif terhadap usaha pihak berkuasa berkaitan yang menjalankan operasi sejak hari pertama bagi mengawal dan memadamkan kebakaran di kawasan berkenaan.

Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) merangkap Komander Operasi, Abu Bakar Abd Kadir, berkata gerakan dijalankan pelbagai pihak berkuasa setakat ini memberi kesan dengan banyak kawasan dilanda musibah itu berjaya dikawal atau dipadamkan sepenuhnya.

HUTAN TERBAKAR“Setakat ini keluasan kawasan terbakar semakin berkurangan,” katanya.

Tindakan bersepadu dijalankan itu diyakini mampu mengatasi kebakaran berlaku di kawasan seluas 31 hektar yang pada awalnya menimbulkan masalah ekoran berlaku fenomena El-Nino menyebabkan cuaca panas.

Selain itu, beberapa aktiviti seperti pertanian, memburu dan memancing disyaki antara punca berlakunya insiden terbabit dan pihak berkuasa meminta masyarakat bekerjasama dengan tidak melakukan pencerobohan haram di kawasan berkenaan.

Di samping bomba, pihak berkuasa lain turut serta dalam operasi memadam kebakaran, sejak 1 April lalu ialah Agensi Penguatkuasa Maritm Malaysia (APMM), Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Jabatan Moneral dan Geologi (JMG), dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Ilustrasi kebakaran hutan

Antara tindakan diambil ialah penggunaan enam jentera berat ‘excavator’ bertujuan membina perparitan sementara mengawal kebakaran daripada merebak, penggunaan drone/UAV secara harian bagi tujuan pemantauan udara dan strategik dan pengaktifan dua telaga tiub JMG untuk membekalkan bekalan air bagi pemadaman.

Selain itu, dilaksanakan pemadaman secara ‘water bombing’ menggunakan pesawat bombardier APMM, pada 10 April iaitu sebanyak dua penerbangan, 47 kali pengeboman menggunakan 282,000 liter air serta pemadaman darat bersepadu.

Pos kawalan bomba juga dibuka di kawasan itu sejak 31 Mac lalu hingga hari ini bagi menjalankan tindakan perlu bertujuan mengatasi masalah berkenaan.

-NFN-


Pengarang :