Selangorkini
SELANGOR

MB: Stadium Shah Alam sedia diguna aksi Piala Sultan Selangor

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 APR: Pertembungan Piala Sultan Selangor 2016 bakal menjadi perlawanan pertama yang bakal dilangsungkan di Stadium Shah Alam, pada 7 Mei hadapan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang membuat lawatan menyifatkan pembangunan Stadium Shah Alam penting bukan sahaja untuk Selangor bahkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

stadium 2“Insya-Allah, itulah harapan saya dan sebab itu saya turun petang ini untuk memastikan semuanya siap sepenuhnya penghujung April ini.

“Kita perlukan seminggu sebelum Piala Sultan Selangor berlangsung pada 7 Mei untuk beroperasi sepenuhnya.

“Saya dapat jaminan MBSA kita dapat gunakannya pada 7 Mei ini,” katanya.

Setakat ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM12 juta untuk menaiktaraf padang utama yang dijangka siap penghujung April dan boleh digunakan awal Mei 2016.

Mohamed Azmin berkata, selain padang antara kemudahan yang dibaikpulih adalah bumbung, kerusi ruang petugas media, papan jaringan digital dan lampu limpah.

Katanya, lampu limpah dinaiktaraf kepada 1,200 lux sesuai dengan keperluan FAM dan dijangka akan ditingkatkan kepada 2,000 lux pada masa akan datang.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Sebelum ini, RM2.1 juta sudah diperuntukkan bagi pemasangan 80 kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar stadium bagi menjamin keselamatan penonton.

EZY


Pengarang :