SELANGOR

MBPJ lancar bas percuma untuk pesara

OLEH : HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 3 APR: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan perkhidmatan bas percuma untuk kemudahan masyarakat setempat khususnya pesara di kawasan Zon 24 Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohd Aziz Mohd Zain, berkata perkhidmatan terbabit disediakan ekoran jumlah penduduk ramai di kawasan Desa Menteri itu termasuk golongan pesara.

BAS PERCUMA PESARA“Kita melancarkan perkhidmatan bas percuma bagi kemudahan komuniti untuk laluan dari Klinik 1Malaysia ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Kemudahan ini diberikan ekoran ramai pesara mendiami kawasan ini dan berharap ia membawa manfaat kepada mereka bagi mendapatkan perkhidmatan perubatan dan kesihatan,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian Program Mesra Rakyat MBPJ Zon 24 DUN Seri Setia di sini, hari ini.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad; Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Johary Anuar dan Ahli Majlis Zon 24 MBPJ, Halimey Abu Bakar.

SelangorKini difahamkan, perkhidmatan bas percuma itu disediakan tiga kali seminggu iaitu Isnin, Rabu dan Jumaat pada 7 pagi dan 2 petang.

BAS PERCUMA PESARA (1)“Kita akan mengkaji memberikan perkhidmatan bas sama kepada komuniti di kawasan lain jika terdapat permintaan dan ia memerlukan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Aziz berkata, perkhidmatan bas percuma sedia ada, ‘PJ City Bus” memberikan kemudahan kepada penduduk di sekitar bandar raya itu dengan pertambahan 12 bas pada tahun ini.

“Pertambahan itu menjadikan perkhidmatannya meningkat kepada 22 bas termasuk dua bas elektrik dengan laluan tambahan jajaran ketiga dan keempat iaitu menghala ke Kelana Jaya dan Kampung tunku.

“Perkhidmatan ‘PJ City Bus’ percuma disediakan MBPJ hanya membabitkan laluan di kawasan tidak memperoleh perkhidmatan Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid),” katanya.

-nR-


Pengarang :