Selangorkini
SELANGOR

Persimpangan bertingkat Seksyen 7 dibuka hari ini

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 28 APR: Persimpangan bertingkat Seksyen 7 yang memberi manfaat kepada lebih 100,000 kenderaan khususnya penduduk sekitar secara rasminya dibuka kepada lalu lintas hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Raja Shahreen Raja Othman, berkata persimpangan itu juga dijangka mengurangkan 43 peratus kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit.

IMG_2973 a“Ia dijangka menyuraikan kepadatan trafik sedia ada terutama di Persiaran Kayangan, Persiaran Permai, Lorong Keluli, Persiaran Bestari, Padang Jawa, Jalan Plumbum, Jalan Kristal dan Jalan Platinum.

“Sebelum ini penduduk terpaksa melalui perjalanan jauh dan berhadapan kesesakan lalu lintas setiap hari terutamanya pada waktu puncak,” katanya.

Majlis pembukaan persimpangan bertingkat itu dirasmikan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affandi Aminuddin, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Azlan Md Alifiah dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Nordin Sulaiman.

IMG_3008 aSementara itu, Azlan berkata projek yang menelan kos kira-kira RM50 juta itu mula dibina pada 2 April 2012 dan mengambil masa tiga tahun untuk siap sepenuhnya.

Katanya, inisiatif Kerajaan Negeri melalui MBI itu selaras dengan gagasan Smart Selangor dalam membawa perubahan akses pengangkutan yang lebih cekap.

“Konsep menang-menang diamalkan Kerajaan Negeri dan agensi kerajaan serta pemaju perlu dicontohi dan diperluaskan demi manfaat rakyat seluruhnya.

“Pembinaan dari Lebuhraya Persekutuan ke pembangunan di Seksyen 7 di sini, dibuat sebagai usaha untuk penyuraian aliran trafik yang efisien bagi pembangunan di kawasan ini,” katanya.

Persimpangan bertingkat sepanjang lima kilometer (KM) dengan lorong tol itu dipantau Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PLUS.

Projek terbabit milik penuh MBI dan PKNS adalah pengurus projek.

-nR-


Pengarang :