Selangorkini
SELANGOR

Piala AFC: Hanya menang mampu buka peluang mara terus

OLEH : HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 25 APR: Kemenangan ke atas Ceres La Salle FC amat penting dan pemain Selangor bertekad mengatasi lawan dalam pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Selayang, malam esok.

Kemenangan diperlukan bagi The Red Giants itu bagi mencerahkan laluan ke pusingan seterusnya dalam Piala AFC sebelum melengkapkan jadual liga untuk perlawanan terakhir bertemu kelab Singapura, Tampines Rovers FC di tempat lawan, 10 Mei ini.

shahrol kalamKetua Pasukan, Shahrom Kalam, berkata perlawanan esok adalah sebagai penanda aras untuk mengukur sejauh mana kemampuan Selangor mara lebih jauh dalam saingan piala di peringkat Asia itu.

“Kita perlu dapatkan tiga mata dan semua pemain komited untuk mencapai sasaran itu.

“Ceres La Salle kelab Filipina yang kuat tetapi saya yakin Selangor mampu memberi cabaran untuk menang,” katanya.

Beliau berkata, sememangnya dalam setiap perlawanan dihadapi menjanjikan saingan selain tekanan perlu dipikul pemain dan pasukan namun mereka sentiasa berusaha mengatasinya.

“Kita harap segala kesilapan dalam perlawanan lalu dapat dielakkan untuk mencapai sasaran pasukan dan kini kita semakin ke hadapan dari segi kerjasama berpasukan serta pertahanan semakin kukuh.

“Dengan Ceres La Salle mencabar hebat tetapi kita bersedia dengan persembahan dan disiplin tinggi,” katanya.

Ketua pasukan Cares La Salle, Juan Luis Guirado pula berkata, pertemuan dengan Selangor adalah perlawanan besar dan hanya kemenangan menjanjikan kepuasan.

“Memang kita datang untuk menang dan kita akan mencuba sedaya upaya kerana sasaran sama ditetapkan Selangor.

“Perlawanan lalu menentang pasukan Malaysia ini sedikit sebanyak memberi gambaran kekuatan lawan dan kita bersedia untuk perlawanan malam esok,” katanya.

EZY


Pengarang :