SELANGOR

RM145.3 juta biaya elaun guru KAFA, takmir dan imam masjid

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 APRIL: Sejumlah RM145.3 juta diperuntukkan bagi membayar elaun 7,717 guru KAFA, takmir dan imam masjid di Selangor tahun ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim, berkata Kerajaan Negeri menyumbang RM79.4 juta, Kerajaan Persekutuan (RM37.9 juta) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan sumbangan RM28 juta.

pengarah jais a“Keseluruhan peruntukan digunakan bagi membayar 6,860 guru KAFA, 727 imam masjid kariah, 121 guru takmir dan sembilan Penolong Pegawai Penyelaras Takmir Daerah.

“Menyedari hakikat menjaga ‘survival’ ummah secara kolektif, maka pelbagai inisiatif diambil banyak pihak dan agensi ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Multaqa Pegawai Masjid, Guru Takmir dan KAFA peringkat Selangor 2016, di Bangunan SUK hari ini.

Majlis disempurnakan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan turut dihadiri Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Pada masa sama, Haris berkata, guru KAFA, takmir dan imam memainkan peranan besar sebagai benteng memperkukuh pegangan Ahlus Sunnah Waljamaah.

“Akidah adalah simpulan dan ikatan yang akan kukuh jika kita bersatu secara kukuh.

“Jika rapuh, maka ia membawa kita kepada perpecahan dan perselisihan yang berpanjangan,” katanya.

-AA-


Pengarang :