Selangorkini
SELANGOR

700 iklan ah long diturunkan di Klang

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 MEI: Sebanyak 700 iklan pemberi pinjaman wang tanpa lesen diturunkan dalam Ops Vulture oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dan unit iklan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat, berkata pihaknya akan merujuk nombor telefon diiklankan ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk pembatalan perkhidmatan.

Katanya, operasi diketuai Ketua Bahagian Komersial Daerah Klang Utara, ASP Megat Faizal Megat Fuad itu sudah dijalankan dan dibahagikan kepada tiga lokasi tumpuan.

2“Operasi ini bertujuan menurunkan iklan atau banner ah long haram atau pemberi pinjam wang tanpa lesen di sekitar kawasan pentadbiran IPD Klang Utara.

“Nombor telefon tertera akan dihantar ke SKMM untuk tindakan selanjutnya, manakala banner atau iklan haram akan dilupuskan MPK,” katanya.

Beliau berkata, operasi terbabit dijalankan di Jalan Pekan Baru, Jalan Goh Hock Huat dan Taman Berkeley termasuk Taman Eng Ann dan Taman Intan.

Untuk rekod, pihak polis menerima sebanyak 16 kes ah long yang sedang disiasat bagi 2016 sehingga April lalu.

“Sepanjang 2015 pula, 37 kes diterima dan sedang disiasat membabitkan kes pemberi pinjam wang tanpa lesen.

“Statistik kes pinjaman tidak wujud berpunca dari iklan atau banner pemberi pinjam wang tanpa lesen bagi 2016 sehingga April pula adalah sebanyak 16 kes sedang disiasat manakala tahun 2015, juga 16 kes sedang disiasat,” katanya.

-AA-


Pengarang :