Selangorkini
SELANGOR

Audit: Lapan Jabatan Selangor cemerlang kawal bajet dan perbelanjaan

OLEH : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Laporan Ketua Audit Negara menyatakan lapan Jabatan Selangor berjaya mencapai tahap cemerlang bagi Kawalan Bajet dan Kawalan Perbelanjaan berdasarkan analisa Tahap Pematuhan Terhadap Kawalan Utama.

Pengerusinya, Tan Sri Ambrin Buang, berkata lima Jabatan mencatat tahap cemerlang bagi aspek Kawalan Pengurusan sementara satu pada tahap baik dan dua lagi memuaskan.

Tan-Sri-Ambrin-Buang1“Bagi Kawalan Terimaan, enam Jabatan berada pada tahap cemerlang dan dua Jabatan tahap baik.

“Aspek Kawalan Perolehan pula, satu Jabatan memperoleh tahap cemerlang, tiga baik, satu memuaskan dan tiga kurang memuaskan,” katanya.

Audit dalam penemuannya turut menyatakan empat Jabatan berada pada tahap cemerlang, tiga Jabatan baik dan satu kurang memuaskan Bagi Kawalan Pengurusan Aset Dan Stor.

“Antara kelemahan Jabatan yang mendapat tahap kurang memuaskan adalah Jawatankuasa Pengurusan Aset Alih Kerajaan tidak membincangkan agenda yang ditetapkan.

“Pegawai Penerima tidak dilantik untuk menerima dan mengesahkan aset dan barang-barang stor yang diterima.

“Harta modal dan aset bernilai rendah dibeli tidak didaftarkan dalam tempoh dua minggu.

“Daftar Harta Modal (KEW.PA-2) dan Daftar Aset Bernilai Rendah (KEW.PA-3) tidak diselenggarakan dengan kemas kini,” katanya.

Dari segi Pengurusan Wang Amanah atau Kumpulan Wang Amanah Dan Deposit, lima Jabatan berada pada tahap cemerlang, dua Jabatan tahap baik manakala satu Jabatan tidak terlibat dengan pengurusan amanah.

Empat Jabatan memperoleh tahap cemerlang, satu Jabatan tahap baik dan tiga yang lainmemuaskan bagi Kawalan Pengurusan Kenderaan.

-nR-


Pengarang :