Selangorkini
NASIONAL

Impak pelaksanaan gaji minimum RM1,000 tidak memudaratkan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 5 MEI: Suasana ekonomi negara tidak menentu menjadi antara faktor penyumbang kepada pemberhentian pekerja tanpa ada kaitan dengan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM 2016).

Pemangku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdullah Sani Abdul Hamid, berkata pelaksanaan gaji minimum RM1,000 itu tidak begitu memudaratkan majikan kerana ia hanya membabitkan pekerja bergaji di bawah paras itu.

Katanya, persoalan utama bagi pelaksanaan itu adalah formula dan peranan yang perlu dimainkan kerajaan bagi membantu syarikat melaksanakan gaji minima di saat mereka ditekan dengan pelbagai cukai seperti GST.

abdullah sani“Jika ingin mengatakan banyak pihak yang bakal diberhentikan kerja dalam suasana sekarang, bagaimana pula dengan nasib pekerja syarikat besar seperti MAS dan Petronas?

“Ramai yang bergaji lebih daripada paras minimum, kita nak bantu segelintir yang berpendapatan rendah.

“Ini bukan soal jika diberikan gaji minimum ramai yang akan hilang pekerjaan, tetapi bagaimana keupayaan kerajaan untuk membantu syarikat melaksanakan gaji minimum,” katanya kepada SelangorKini.

Sebelum ini, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berharap kerajaan menangguhkan pelaksanaan PGM 2016 yang akan berkuatkuasa bermula 1 Julai 2016.

Pihaknya mendakwa dianggarkan 30,000 pekerja terutama di peringkat bawahan berdepan tindakan pemberhentian kerja oleh majikan sebelum Julai ini.

Melalui Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM 2016) kadar gaji minimum ditetapkan mengikut wilayah adalah RM1,000 sebulan atau RM4.81 sejam bagi Semenanjung Malaysia sementara RM920 sebulan atau RM4.42 sejam bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.

-AA-


Pengarang :