Selangorkini
SELANGOR

Kerajaan Negeri sambut baik cadangan lebuh raya rentasi Tanjung Karang

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 MEI: Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membina Lebuhraya Jajaran Pantai Barat melalui Pekan Tanjung Karang.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata langkah itu mampu mengelakkan kampung berhampiran terpecah dua jika projek itu merentasi kampung sekitar Tanjung Karang.

ISKANDAR SAMAD“Kita juga tidak mahu perniagaan di pekan itu mati jika berlaku ‘by pass’ dan langkah ini juga dapat mengelakkan tanah orang kampung diambil alih. Tetapi, yang penting perlu dirancang rapi supaya Pekan Tanjung Karang tidak mengalami kesesakkan,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Iskandar berkata, JKR masih belum membentangkan jajaran muktamad seperti dilaporkan Sinar Harian kepada Kerajaan Negeri sebelum diluluskan.

Terdahulu, penduduk beberapa kampung sekitar Tanjong Karang membantah cadangan jajaran lebuh raya itu yang akan merentasi beberapa kampung di Tanjong Karang.

Keputusan membina lebuh raya merentasi kampung itu bukan sahaja menjejaskan alam flora, bahkan turut menyebabkan beberapa kampung terpecah dua dan beberapa tanah penduduk di situ juga terpaksa diambil alih.

-NFN-


Pengarang :