KHUTBAH JUMAAT: Berlumba-lumba melakukan kebaikan | Selangorkini


KHUTBAH JUMAAT: Berlumba-lumba melakukan kebaikan

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita sama-sama merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan tegahanNya.

Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan orang-orang Muttaqin yang mendapat kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.


Pada saat penuh keberkatan ini marilah kita mendengar dan menghayati khutbah Jumaat bertajuk; “BERLUMBA-LUMBA MELAKUKAN KEBAIKAN”.

Hadirin yang dirahmati Allah,

Berlumba-lumba melakukan kebaikan adalah satu suruhan Allah SWT dan galakan terhadap hambaNya yang beriman supaya sentiasa melaksanakannya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 148;

“Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblatnya sendiri) yang mereka menghadap ke arahnya (ketika solat).  Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana sahaja kamu berada pasti Allah akan menghimpunkan kamu semua (pada hari kiamat untuk menerima balasan). Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

Di sini jelaslah Islam adalah satu agama mengutamakan perkara kebaikan dan menggalakkan umatnya supaya berlumba-lumba melakukannya.

Kebaikan dalam Islam adalah segala perbuatan baik dan bertepatan dengan syariat bahkan diredhai Allah SWT.

Ia mencakupi aspek ibadah dan hal kemasyarakatan atau “hablum min Allah” (hubungan dengan Allah) dan “hablum min an-Nas (hubungan dengan manusia).

Jadi beriman kepada Allah dan mentaatinya adalah satu kebaikan, keikhlasan niat dan beramal dengan ikhlas adalah satu kebaikan dan melakukan kebaikan sesama manusia adalah satu kebaikan.

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Fitrah atau sifat semulajadi manusia sukakan kejayaan dan kemenangan, tiada seorang pun manusia waras mahukan kegagalan.

Kalah atau menang, berjaya atau gagal adalah resam kehidupan. Lazimnya, sesiapa yang berusaha dialah yang berjaya.

Untuk berjaya pula perlukan semangat berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan. Semangat ini hendaklah ditanam dan disuburkan dalam hati setiap orang yang beriman.

Justeru dalam melaksanakan kebaikan, janganlah kita berlengah-lengah atau bertangguh tangguh, laksanakanlah amalan soleh semasa lapang sebelum sibuk, semasa sihat sebelum sakit, semasa hidup sebelum mati dan sebelum datangnya halangan yang akan berlaku di hadapan kita yang tidak kita ketahui.

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Bersegeralah mengerjakan amal-amal soleh, kerana akan berlaku satu fitnah seperti malam yang sangat gelap. Dalam keadaan itu terdapat juga orang yang disebelah paginya sebagai seorang mukmin dan sebelah petangnya kafir. Begitulah sebaliknya, disebelah petang mukmin dan di sebelah paginya kafir. Dia menjual agamanya kerana kepentingan dunia yang sedikit” (Riwayat Muslim).

Muslimin yang dirahmati Allah,

Berlumba-lumba melakukan kebaikan hendaklah berdasarkan keupayaan masing-masing, tidak kira di mana ia berada dan apa jua bidang diceburinya.

Misalnya, seorang pensyarah di pusat pengajian tinggi atau guru di sekolah, hendaklah menyampaikan ilmunya kepada pelajar atau muridnya dengan sebaik mungkin.

Seorang doktor hendaklah melakukan yang terbaik semasa menjalankan tugas merawat pesakit, kakitangan awam atau swasta hendaklah berdedikasi dan berinovasi dalam menjalankan tugasnya, seorang petani hendaklah bersungguh-sungguh mendapatkan hasil pertaniannya dan seorang pemimpin hendaklah menjalankan tugas kepimpinannya sebaik mungkin.

Pendek kata, Islam menggalakkan umatnya supaya sentiasa berlumba-lumba melakukan amal yang baik mengikut kemampuan, bakat dan kepakaran masing -masing.

Oleh itu, berlumba-lumbalah dan bekerjalah dengan bersungguhsungguh dan amanah serta berdedikasi, kerana segala kebaikan yang dilakukan semasa di dunia ini akan dihisab Allah SWT dan dipaparkan kepada umum di akhirat kelak serta diberikan ganjaran setimpal dengan apa yang dilakukan.

Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 105 yang bermaksud:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara ghaib dan nyata, kemudian Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Orang yang beriman dan beramal soleh adalah sebaik-baik umat, kerana ia akan mendapat kedudukan tinggi di sisi Allah dan beroleh kebahagiaan dan kenikmatan yang tidak ada bandingannya di akhirat kelak.

Mereka akan selamat daripada azab Allah SWT dan ditempatkan dalam syurga yang penuh nikmat sebagai ganjaran atas segala amalan kebaikan yang dilakukan di dunia.

Inilah janji Allah SWT. Oleh itu bersegeralah mengerjakan amalan kebaikan bagi mendapatkan keredaan dan ganjaran pahala besar di sisi Allah SWT.

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Segeralah beramal dengan amalan kebaikan sebelum tiba tujuh perkara. Apakah yang kamu nantikan selain papa yang melupakan atau kekayaan yang menyombongkan atu penyakit yang merosakkan atau tua yang nyanyuk atau mati dengan tiba-tiba atau tibanya dajjal yang merupakan sejahat-jahat makhluk yang di tunggu-tunggu atau datangnya hari kiamat. Maka hari kiamat itu adalah lebih berat dan lebih mengerikan”.
(Riwayat at-Tirmizi)

Ingatlah wahai orang yang beriman! Harta kekayaan, anak pinak yang ramai, pangkat kebesaran dan kekuasaan adalah kurniaan Allah SWT kepada hambanya yang merupakan suatu ujian, sama ada ia bersyukur dengan mentaati Allah SWT dengan mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya atau hanyut dan lalai dibuai kemewahan duniawi.

Allah SWT menjelaskan bahawa orang beriman yang berlumba-lumba melakukan kebaikan semasa hidupnya adalah orang yang berjaya dan berada dalam barisan hadapan dalam kalangan umat lain.

Sebagaimana firmanNya dalam surah al-Mukminun ayat 61;

“Mereka itulah orang-orang yang segera mengerjakan kebaikan, dan merekalah orang-orang yang mendahului pada mencapainya”
.
Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Mengakhiri khutbah ini, mimbar ingin mengingatkan seluruh umat Islam supaya melaksanakan perkara berikut;

1. Umat Islam hendaklah meyakini kematian adalah sesuatu yang pasti berlaku dan segala amalan di dunia ini akan dibalas di akhirat kelak.

2. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa kebahagiaan di akhirat bergantung kepada amalan-amalan kebaikan semasa di dunia. Oleh itu berlumba-lumbalah melakukan amalan kebaikan semasa di dunia ini.

3. Umat Islam hendaklah melaksanakan amalan-amalan fardhu dan ditambahkan dengan amalan-amalan sunat terutama sekali dalam bulan Ramadan yang bakal tiba ini.

“Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertaqwa”.
(Surah ali-Imran; 133).

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the contributor

Norway

Editor

Admin Selangorkini


Norway    Norway   Norway   Norway  

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION