KHUTBAH JUMAAT: Mengenali beberapa golongan perosak | Selangorkini


KHUTBAH JUMAAT: Mengenali beberapa golongan perosak

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat
yang dikasihi sekalian, marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan
melakukan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Sesungguhnya orang yang termulia di sisi Allah SWT ialah orang yang paling


bertaqwa. Marilah kita berterusan mengamalkan dan mentaati segala
perintah Allah SWT dan ajaran Rasulullah SAW. Mudah-mudahan kita akan
dirahmati oleh Allah SWT dan beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat kelak,

InsyaAllah.

Mimbar Jumaat hari ini ingin mengajak para Jemaah sekalian untuk
menghayati khutbah yang bertajuk “MENGENALI BEBERAPA GOLONGAN
PEROSAK”.

Hadirin sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

KhutbahAl-Quran menggunakan kata fasad (kerosakan) dengan makna yang
luas yang secara umum bermaksud apa-apa jua jenis kerosakan di muka
bumi yang berupa pelbagai aktiviti yang dilarang oleh Allah SWT.

Dengan demikian, setiap orang yang melakukan apa sahaja kemaksiatan,
kemungkaran atau kejahatan samada besar maupun kecil, bererti telah
berbuat kerosakan. Ini dijelaskan pada maksud ayat yang dibacakan di
permulaaan khutbah ini iaitu surah al-Baqarah ayat 11 dan 12 yang
bermaksud;

“Dan apabila dikatakan kepada mereka, “janganlah kamu membuat
kerosakan di muka bumi”. Mereka menjawab, “sesungguhnya kami hanya
orang yang membuat kebaikan.

Ketahuilah! Sesungguhnya mereka itulah orang yang membuat kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya”.

Imam at-Tobari menyatakan bahawa yang dimaksud dengan fasad
adalah kekufuran dan segala aktiviti kemaksiatan. Bermakna sebarang
aktiviti yang membawa kepada penyelewengan aqidah, boleh membawa
kepada kekufuran dan ini juga merupakan satu kerosakan yang sangat berat.

Dalam al-Quran terdapat orang-orang atau kelompok orang yang secara
langsung digolongkan sebagai para pembuat kerosakan, antara lain adalah;

1. Pemerintah-pemerintah yang zalim.

Ini dijelaskan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 4;

“Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi dengan melampaui
batas, serta dia menjadikan penduduknya berpuak-puak (untuk berkhidmat
dengannya). Dia menindas segolongan daripadanya (iaitu Bani Israel)
dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anakanak

perempuan mereka. Sesungguhnya dia daripada golongan yang
membuat kerosakan”.

Oleh yang demikian, sesiapa yang berperilaku seperti perilaku Firaun
yang melanggari perintah Allah SWT, memecah belah kesatuan dan
perpaduan umat, menindas golongan yang lemah, mengugut dan memaksa
orang ramai supaya mematuhi sesuatu perintah walaupun salah dari segi
syariat, membunuh jiwa-jiwa manusia yang tidak bersalah.

Melakukan pelbagai jenis penganiayaan, kezaliman dan sering berprasangka adalahtermasuk dalam golongan orang-orang yang berbuat kerosakan. Begitulah juga pemerintah-pemerintah zalim yang ada sepanjang zaman adalah antara golongan perosak di muka bumi Allah ini.

2. Orang-orang yang tidak beriman dan ingkar kepada Allah SWT.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 40;

“Antara mereka ada yang beriman kepada al-Quran dan ada antara
mereka yang langsung tidak beriman kepadanya. (Ingatlah), Tuhanmu lebih
mengetahui akan orang-orang yang melakukan kerosakan”.

Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Orang-orang yang tidak beriman lagi ingkar juga dianggap melakukan
kerosakan kerana mereka enggan mematuhi perintah Allah SWT. Apabila
mereka enggan atau ingkar mematuhi syariat Islam sudah pasti mereka akan melakukan pelbagai perbuatan yang bertentangan dengan peraturan syariat.

Disinilah berlakunya pelbagai kerosakan. Malahan ada antara mereka yang
secara terbuka melakukan dan menganjurkan perbuatan-perbuatan mungkar seperti berjudi, membuka pusat-pusat perjudian, minum arak, menganjurkan pesta-pesta minum arak, menipu, mencuri dan apa sahaja kejahatan serta kemaksiatan yang lain.

3. Orang munafik.

Golongan munafik ialah mereka yang berpura-pura beriman, menyembunyikan kekufurannya dan sentiasa merancang melakukan kerosakan terhadap agama Islam.

Hadis daripada Abdullah Bin Amru RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Ada empat perkara, sesiapa yang memilikinya maka ia adalah seorang
munafik tulen. Sesiapa yang memiliki satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya.

(Empat sifat itu ialah) apabila diberi kepercayaan ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran”.

(Riwayat Imam Ahmad).

4. Tukang fitnah.

Fitnah adalah merupakan tuduhan palsu yang diada-adakan yang berniat jahat untuk mengaibkan atau menjatuhkan maruah seseorang yang boleh merosakkan keharmonian dan akhirnya menyebabkan terputusnya silaturrahim dalam keluarga dan masyarakat. Ianya sering dilakukan melalui perkataan, tulisan atau perbuatan. Bahkan si pembuat fitnah dikatakan juga sebagai mengadu domba.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 27

(Iaitu) orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya
dihubungkan (beriman dan menghubungkan silaturrahim dengan Nabi
SAW),serta mereka pula membuat kerosakan (dengan melakukan maksiat)
di muka bumi. Mereka itulah orang-orang yang rugi (kerana dimasukkan ke
dalam neraka selama-lamanya)”.

Sesungguhnya fitnah membawa kerosakan kepada masyarakat sebaik
sahaja mereka mempercayai akan fitnah tersebut kerana fitnah bukan sahaja menimbulkan permusuhan dan permusuhan pula boleh mencetuskan
perpecahan dan huru-hara, malahan pembuat fitnah tidak akan masuk
syurga sepertimana sebuah hadis daripada Huzaifah RA bahawa Rasulullah
SAW bersabda;

“Tidak masuk syurga orang-orang yang suka memfitnah (mengadu
domba).
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Sebagai kesimpulannya, mimbar pada hari ini menyeru supaya;

1. Umat Islam hendaklah berwaspada dan menjauhi golongan perosak yang boleh menjejaskan akidah.

2. Umat Islam hendaklah mengenal pasti ciri-ciri golongan perosak yang telah dihuraikan dalam khutbah ini.

3. Umat Islam hendaklah membersihkan hati dan jiwa supaya tidak menjadi golongan perosak dalam masyarakat dan selamat hidup di dunia dan akhirat.

“Antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal dia adalah orang yang sangat keras permusuhannya (kepadamu).

Kemudian apabila dia beredar (setelah mendapat hajatnya), dia berjalanlah di bumi untuk melakukan kerosakan padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternakan dan manusia), sedang Allah tidak suka kepada kerosakan”.

(Surah al-Baqarah : 204-205

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION