Selangorkini
SELANGOR

MB umum peruntukan tambahan HIJRAH RM11 juta untuk peniaga Sabak Bernam

OLEH: NAZLI IBRAHIM

SABAK BERNAM, 12 MEI: Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan Kerajaan Negeri menambah peruntukan tambahan pembiayaan perniagaan HIJRAH sebanyak RM11 juta kepada peniaga di Sabak Bernam.

Peruntukan tambahan itu dibuat apabila Kerajaan Negeri mendapati jumlah usahawan HIJRAH di Sabak Bernam bukan sahaja merupakan peserta tertinggi, malah mempunyai rekod bayaran balik terbaik.

MB HIJRAH SG BESAR 2“Rekod HIJRAH membuktikan orang Sabak Bernam bukan sahaja mendapat pembiayaan tertinggi tetapi mereka juga kumpulan membayar balik pembiayaan terbaik dalam rekod Selangor dan yang terbanyak adalah wanita.

“Oleh kerana kejayaan itu, Saya ingin mengumumkan peruntukan tambahan khusus bagi Daerah Sabak Bernam sebanyak RM11 juta lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Baucar Pembiayaan Kepada Usahawan HIJRAH Selangor di Dewan Sri Sabak Bernam di sini, hari ini.

Jelasnya, statistik menunjukkan seramai 2,963 usahawan di Sabak Bernam mendapat pembiayaan Hijrah dengan melibatkan kos sebanyak RM13.9 juta sejak Hijrah dilancarkan.
“Selain merekodkan prestasi bayaran balik yang baik, peserta pertama layak mendapat pembiayaan maksima sebanyak RM50,000 juga merupakan seorang usahawan di Sabak Bernam,” katanya.

Sementara itu pada Majlis Penyerahan Baucar Pembiayaan Kepada Usahawan Hijrah Selangor di Dewan Sri Sabak Bernam, Mohamed Azmin menyerahkan replika cek pembiayaan bernilai RM7,005,000 kepada wakil usahawan, Mohd Badri Ismail.

-nR-


Pengarang :