Selangorkini
SELANGOR

Pembinaan Stadium MPAJ beri manfaat 800,000 penduduk

Oleh: ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 5 MEI – Penduduk Ampang Jaya bakal menikmati kemudahan stadium mini pertama milik Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Pandan Perdana, dekat sini, yang dijangka siap Mei 2017.

Yang Dipertuanya, Abd Hamid Abdul Hussain, berkata pembinaan stadium itu adalah tangungjawab awam MPAJ untuk memastikan masyarakat tidak tercicir menerima fasiliti di kawasan berkenaan.

“Dengan kepadatan 800,000 penduduk, MPAJ masih tiada tempat sesuai untuk kita menganjurkan acara atau karnival sukan selain daripada kemudahan padang di Pandan Indah dan dewan orang ramai.

stadium“Semua PBT di Selangor sudah mempunyai stadium sendiri. Ini masa sesuai sebuah stadium di Ampang dibina untuk kemudahan dan keperluan awam terutama dengan mengambil kira faktor penduduk yang semakin meningkat,” katanya selepas Majlis Hi-Tea Apresiasi Media MPAJ di Hotel De Palma, di sini, semalam.

Projek menelan kos RM16 juta itu dimulakan, sejak 16 November lalu yang dibina di atas tapak seluas 2.37 hektar 400 meter dari Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Abd Hamid berkata, stadium dengan kapasiti 1,100 tempat duduk itu turut dilengkapi kemudahan trek larian 400 meter, padang bola sepak dan kawasan tempat letak kenderaan.

“Kita sedang mempertimbang untuk membuka trek laluan berjalan kaki atau jogging. Namun, kemudahan untuk trek itu perlu ditempah terlebih dahulu,” katanya.

Sebelum ini, sebahagian daripada tapak asal stadium mini itu mempunyai dua struktur bangunan lapangan sasar latihan golf Pandan Perdana dan medan selera.

Tapak itu juga diwartakan Kerajaan Negeri sebagai kawasan lapang dan sesuai untuk pembinaan stadium serta digunakan sebagai padang bola sepak.

-NFN-


Pengarang :