Selangorkini
SELANGOR

Selangor harap Pelan Induk Perindustrian, Pengangkutan Awam pacu pertumbuhan ekonomi

SINGAPURA, 10 MEI : Selangor, yang sedang memuktamadkan Pelan Induk Perindustrian dan Pengangkutan Awamnya, berharap kedua-duanya dapat menjadi pemangkin bagi memacukan lagi pembangunan ekonomi negeri itu.

Pelan induk itu dijangka selesai dalam masa dua bulan, bukan sahaja memudahkan tetapi juga menyediakan hala tuju bagi sektor disasarkan yang menjadi tumpuan Selangor dalam menggerakkan enjin pertumbuhan ekonominya.

Selangor majuPengerusi Jawatankuasa Tetap bagi Pelaburan, Industri dan Perdagangan, Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Pengangkutan Selangor, Dato’ Teng Chang Kim, berkata pelan induk itu buat permulaannya akan berfungsi sebagai pelan pembangunan lima tahun dan akan dikaji semula apabila perlu.

“Seperti yang anda tahu, kami menumpukan kepada lima kluster, iaitu sains hayat, makanan dan minuman, elektrik dan elektronik, peralatan pengangkutan dan mesin dan peralatan.

“Pelan induk ini secara dasarnya menentukan strategi dalam menyokong pertumbuhan dan pembangunan seterusnya sektor-sektor ini,” katanya kepada Bernama, di luar acara mesyuarat meja bulat mengenai “Selangor The Economic Powerhouse” (Selangor Kuasa Besar Ekonomi), yang diadakan di sini, semalam.

Teng mengetuai misi pelaburan negeri itu selama dua hari ke republik ini bermula Isnin.

Mengenai sektor berpotensi, beliau berkata negeri itu menumpukan kepada bioteknologi di bawah kluster sains hayat serta aeroangkasa di bawah kluster peralatan pengangkutan.

Mengulas mengenai sama ada pertumbuhan perlahan ekonomi global sekarang akan menjejaskan minat pelaburan di negeri itu, beliau berkata Selangor masih optimistik bagi suku pertama.

“Walaupun angka suku pertama belum lagi keluar, kami sangat agresif berbanding sebelum ini, pergi ke bandar raya berpotensi di seluruh dunia dalam usaha menarik pelaburan ke Selangor,” katanya dipetik BERNAMA.

Setakat ini, misi perdagangan Selangor diadakan di Australia, Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu serta Korea Selatan, meliputi 11 bandar raya secara keseluruhan, dan sebanyak 24 bagi tahun ini.

Sejak penubuhan Invest Selangor Bhd, agensi penggalakan pelaburan negeri pada 1999, Selangor setakat ini telah berjaya menarik pelaburan bernilai lebih RM130.7 bilion.

Turut menyertai misi itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Hasan Azhari.

 


Pengarang :