SELANGOR

MB: Seret pembunuh Bill Kayong ke muka pengadilan

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 JUN: Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menggesa polis menjalankan siasatan berhubung aktivis hak tanah adat, mendiang Bill Kayong yang ditembak mati pagi tadi.

Dalam laman Facebooknya, Mohamed Azmin berkata mereka yang terbabit dalam pembunuhan itu perlu diseret ke muka pengadilan dengan segera.

BillKayong“Saya menggesa polis menyiasat kejadian ini dan penjenayah yang bertanggungjawab diseret ke muka pengadilan dengan segera.

“Takziah buat keluarga mendiang Bill Kayong, mantan calon KEADILAN bagi kerusi N17 Bekenu dalam pilihan raya negeri Sarawak yang lalu,” tulisnya yang juga Timbalan Presiden KEADILAN.

Mendiang yang dikenali sebagai penggerak sosial dan aktivis hak tanah adat dilaporkan mati ditembak di lampu isyarat di Kuala Baram, 9 pagi ini sewaktu memandu kenderaan dengan logo parti.

Mengikut laporan awal, beliau mati ditembak di lampu trafik berhampiran Emart One-Stop Shopping Mall di Senadin, Miri, di dalam kenderaan pacuan empat roda yang ada lambang KEADILAN.

Bill Kayong seorang aktivis dan anggota KEADILAN yang komited kepada agenda Reformasi.

Beliau sering mengangkat isu dekat di hati rakyat Sarawak, termasuklah isu hak tanah adat yang beliau kerap bangkitkan sewaktu Pilihan Raya Negeri Sarawak yang lalu.

Pada ketika ini, motif jenayah pembunuhan ini belum lagi dikenalpasti.

EZY


Pengarang :