Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

1MDB: Terus terang, usah bersembunyi lagi

OLEH Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

Media-media antarabangsa dan portal-portal berita utama semalam melaporkan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat mengambil tindakan undang-undang untuk menyita hartanah bernilai lebih daripada US$1 bilion (RM4 bilion) berkaitan 1MDB yang merupakan sebahagian daripada US$3.5 bilion yang dilarikan dari institusi itu dalam salahlaku pecah amanah.

Mengambil kira perkembangan ini yang dilaporkan media utama kecuali media kawalan UMNO-BN, Perdana Menteri kini perlu berterus terang tentang perkara ini yang tidak dapat disembunyikan lagi. Beliau juga tidak boleh lagi berpura-pura yang skandal ini tidak memalukan negara.

Bercakap pada sidang media, Peguam Negara Amerika Syarikat Loretta Lynch berkata pegawai-pegawai 1MDB memperlakukan dana pelaburan negara itu seperti “akaun bank peribadi” mereka dan “menyonglap berbilion dollar dari rakyat Malaysia”.

Menurutnya, langkah Amerika Syarikat ini dilakukan sebagai sebahagian daripada usaha mereka “menentang rasuah global” demi memastikan Amerika Syarikat tidak menjadi “tempat selamat buat mereka yang menggunakan dana awam demi kepentingan peribadi”.

1MDBAkhirnya, setelah sekian lama cuba menyembunyikan ibu segala skandal kewangan di Malaysia ini, kebenaran berkaitan 1MDB akhirnya terbongkar jua.

Ia mengesahkan dengan jelas bahawa sememangnya wujud satu konspirasi untuk menipu dan membersihkan berilion dolar wang pembayar cukai yang disonglap mereka yang rapat dengan pemerintah tertinggi negara.

Walaupun nama Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak tidak disebut, namun nama anak tirinya Riza Aziz, Jho Low dan pegawai-pegawai kerajaan Abu Dhabi dipetik dalam sidang media semalam.

Aset-aset yang terlibat termasuklah rumah penthouse, karya seni, jet peribadi dan kutipan dari filem “Wolf of Wall Street” yang didakwa diperolehi secara tidak sah menerusi wang yang dilencongkan dari 1MDB sewaktu Najib menjadi pengerusinya.

Seperti kita nyatakan sebelum ini, keputusan Najib Razak memecat Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menggantikan Peguam Negara Tan Sri Gani Patail dan mengenepikan pegawai-pegawai tertinggi SPRM yang terlibat aktif dalam siasatan 1MDB memberi petunjuk jelas akan konspirasi untuk menutup skandal ini.

Mengambil kira perkembangan terbaru ini, Perdana Menteri tidak dapat lagi mengunci mulutnya dan perlu menjelaskan kepada negara tentang skandal ini.

 


Pengarang :