Selangorkini
SELANGOR

‘Blue print’ menyeluruh perangi denggi

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 JUL: Kerajaan Negeri giat menyediakan ‘blue print’ secara menyeluruh dalam usaha membanteras denggi di negeri itu.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, pihaknya kini sedang mendapatkan maklumat secara terperinci berkenaan langkah terbaik untuk dilaksanakan.

“Kita sedang laksanakan satu ‘blue print’ yang dibentangkan dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri. Kita gunakan ‘blue print’ ini untuk membanteras denggi.

“Kita sedang teliti dan masih mengumpul segala maklumat mengenai denggi dari A hingga Z,” katanya kepada SelangorKini.

Dr Daroyah mengalukan semua pihak bekerjasama dengannya untuk sama-sama memikirkan langkah terbaik menangani masalah terbabit.

Pada masa sama, Daroyah berkata perlaksanaan program ‘Ekosistem’ baru-baru ini menunjukkan keberkesanaan dengan penurunan kadar denggi khususnya di kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Katanya, tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) dijadikan kawasan perintis melaksanakan program itu iaitu MBPJ, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Program ini kita bahagikan mengikut DUN, yang mana setiap satu DUN diletakkan seorang pegawai untuk dipertanggungjawabkan projek itu.

“Kita memfokuskan tempat-tempat ‘hot spot’. Bagaimanapun, di peringkat MPSJ ia masih belum menujukkan kesan positif ekoran banyak pembangunan sedang berjalan ketika ini,” katanya.

Kerajaan Negeri mengambil tindakan dengan mengarahkan PBT untuk lebih banyak melaksanakan aktiviti ‘larvisiding’ dengan tujuan untuk memutuskan kitaran hidup nyamuk tersebut semasa jentik-jentik.

Sejumlah RM10,000 juga diperuntukkan kepada setiap Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor bagi melaksanakan program memerangi wabak denggi di kawasan masing-masing.

Mei lalu, statistik kes demam denggi terus memperlihatkan trend penurunan dari minggu ke minggu walau terdapat kebimbangan apabila bermulanya musim hujan, baru-baru ini.

Sepanjang tahun ini, catatan kes daftar minggu ini (21 Mei) adalah yang terendah iaitu 700 kes yang direkodkan berbanding 1301 kes bagi epid ke-11.

Untuk rekod, epid ke-14 sebanyak 1,189 kes direkodkan dan terus menurun ke epid 15 (1137), epid ke-16 (929), epid ke-17 (892), epid ke-18 (781), epid-19 (732) dan epid ke-20 (700) kes.

EZY


Pengarang :