Selangorkini
SELANGOR

DASH dibina September ini, selesai isu kesesakan

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 26 JULAI: Pembinaan Lebuh Raya Damansara-Shah Alam (DASH) yang akan memberi manfaat kepada lebih 500,000 penduduk sekitar Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam dan Kota Damansara bakal dibina September ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Yaakob Sapari, berkata lebuh raya itu dapat menyelesaikan kesesakan lalu lintas teruk terutama waktu puncak (pagi dan petang) di sepanjang Persiaran Mokhtar Dahari, Jalan Batu 3 ke Sungai Buloh dan Persiaran Surian, Kota Damansara.

YAAKOB“Kerajaan Negeri sudah menyelesaikan isu jalan sesak di kawasan itu dengan pembinaan DASH membabitkan kos RM100 juta.

“Kita menjangkakan ia akan dibina September ini,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Yaakob berkata, isu lain membabitkan DUN Kota Anggerik seperti jalan berlubang, banjir dan kutipan sampah berjaya diselesaikan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Kawasan Kota Anggerik tidak banyak isu tertangguh dan MBSA memberi respon dan kerjasama sangat baik.

“Manakala masalah kesesakan di Lebuh Raya Persekutuan menghala TTDI Jaya, saya harap Kerajaan Persekutuan dapat membantu Kerajaan Negeri menyelesaikannya dengan membina lebuh raya bertingkat,” katanya.

-AA-


Pengarang :