Selangorkini
NASIONAL

Euro 2016: Portugal ke final, lebur impian Wales

OLEH AFIX REDZUAN

PARIS, 7 JULAI: Dua jaringan Cristiano Ronaldo dan Nani pada babak kedua sudah cukup membawa Portugal mara ke perlawanan akhir Euro 2016 selepas menewaskan Wales 2-0.

Dalam aksi seimbang, kedua pasukan gagal menjaringkan gol pada babak pertama selain mengamalkan corak permainan berhati-hati.

Namun, gol pembukaan yang dinantikan hanya hadir pada babak kedua menerusi Ronaldo apabila berjaya melakukan tandukan kencang pada minit ke-50.

EURO-2016-604x270Beliau yang menerima hantaran Raphael Guerreiro berjaya melonjak tinggi mengatasi pertahanan Wales sebelum menanduk masuk bagi gol pertama perlawanan.

Ini adalah jaringan kesembilan Ronaldo dalam penyertaan Euro sepanjang karier bersama Portugal dan menyamai rekod dipegang lagenda Perancis, Michel Platini.

Selang tiga minit kemudian, Nani berjaya menambah koleksi jaringan sepanjang kejohanan Euro 2016 kepada tiga gol bagi menjadikan keputusan 2-0 selepas berjaya menampan rembatan Ronaldo sebelum masuk ke gawang sekali gus mengelirukan penjaga gol, Wayne Hennessey.

Tiada tambahan jaringan dilakukan kedua pasukan dan keputusan 2-0 kekal sehingga tamat permainan.

Ini adalah kemenangan pertama Portugal dalam aksi 90 minit pada aksi Euro 2016.

Sebelum ini, mereke sekadar mencatatkan keputusan seri selain menang menerusi masa tambahan dan penentuan sepakan penalti.

Keputusan itu juga meranapkan impian Wales untuk ke final buat pertama kali dalam sejarah penyertaan kejohanan Piala Eropah.

Portugal bakal bertemu Jerman atau Perancis dalm satu lagi aksi separuh akhir awal pagi esok bagi mencari juara baru Euro edisi 2016.

-AA-


Pengarang :