Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

KEADILAN sambut baik ‘genjatan senjata’, fokus misi selamatkan Malaysia

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 13 JUL : Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali komited memastikan komponen pembangkang bersatu dalam misi menyelamatkan Malaysia daripada terus ditadbir Umno Barisan Nasional.

Menyambut baik saranan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man agar ‘genjatan senjata’ membabitkan komponen pembangkang dibuat, Mohamed Azmin berkata Umno merupakan parti yang perlu ditumbangkan demi kesejahteraan rakyat.

AZMIN“Kenyataan ini merminkan ketokohan Timbalan Presiden PAS sebagai pemimpin politik matang dan berpegalaman serta memiliki visi yang jauh dengan meletakkan kepentingan negara dan rakyat melebihi kepentingan kepartian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat kecurangan pengurusan ekonomi negara dan budaya politik durjana Umno-BN, Mohamed Azmin yakin pembangkang menyedari bahawa rakyat menuntut satu sistem telus dan mengharapkan kepimpinan untuk merealisasikan hasrat rakyat.

“Kita perlu bersetuju untuk kembali ke meja rundingan dengan merangka sekurang-kurangnya satu pakatan kerjasama pilihan raya. Sekiranya gagal, kita akan mengkhianati harapan rakyat untuk memperjuangkan kepentingan mereka.

“KEADILAN bersedia menyediakan ruang perbincangan meja bulat semua parti pembangkang, NGO dan individu yang komited kepada agenda perubahan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata, sejarah membuktikan perpaduan utuh membabitkan komponen pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 berjaya mempengaruhi sokongan besar rakyat terhadap gabungan pembangkang.

Namun katanya, sebarang pertikaian antara gabungan tersebut memberikan kelebihan kepada Umno-BN untuk terus kekal berkuasa.

“KEADILAN tuntas dalam membawa politik nilai secara inklusif dan mengekalkan perpaduan dalam kalangan parti pembangkang.

“KEADILAN tidak pernah berganjak daripada memperjuangkan agenda reforasmi dengan menjamin prinsip keadilan, tatakelola yang baik dan menentang sebarang bentuk ketidakadilan dan rasuah,” kata Menteri Besar Selangor itu.

Beliau mengulas kenyataan Tuan Ibrahim yang menuntut agar pertegalahan antara komponen pembangkang ditamatkan demi masa depan negara dan manfaat rakyat.

Pada masa sama, saranan tersebut juga dikeluarkan sebagai jaminan toleransi politik lebih baik sebagai tekad menumbangkan Umno-BN.

-nR-


Pengarang :