Selangorkini
SELANGOR

Kereta rasmi Ahmad Yunus terbabit kemalangan

OLEH : AFIX REDZUAN

TELOK PANGLIMA GARANG, 3 JUL: Exco Kerajaan Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi terlibat dalam kemalangan sekitar jam 6.15 petang semalam di Telok Panglima Garang.

Kejadian berlaku ketika kenderaan rasmi Exco yang dipandu pemandu peribadinya, Shahrul Fadhilah berhenti menanti lampu isyarat di Pekan Telok.

Ketika dihubungi Selangor Kini, Ahmad Yunus berkata kejadian yang melibatkan beberapa buah kenderaan itu berlaku ketika beliau dalam perjalanan pulang sebaik sahaja selesai menghadiri program.

kemalangan“Barisan kenderaan sedang berhenti. Tiba-tiba kenderaan melanggar dari arah belakang hingga menyebabkan kereta saya melanggar kenderaan di hadapan.

“Dua kenderaan di hadapan saya terlibat. Saya fikir pemandunya tak tekan brek dan secara tiba-tiba saya terasa bahagian belakang kereta dilanggar,” katanya.

Ahmad Yunus menjelaskan, beliau baharu sahaja menghadiri satu program bersama masyarakat India di Dewan Sri Jugra dan dalam perjalanan ke Masjid Sijangkang.

Beliau dan pemandunya tidak mengalami kecederaan sementara laporan polis akan dibuat.

Beberapa keping gambar yang tersebar di laman sosial memperlihatkan Ahmad Yunus turut membantu mengawal keadaan lalu lintas sejurus terlibat dalam kemalangan itu.

Akibat rempuhan itu, kenderaan rasminya mengalami kerosakan teruk di bahagian depan dan belakang.

EZY


Pengarang :