Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerja ganti 422 km paip lama dilancarkan

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 26 JULAI: Demi kepentingan rakyat, Kerajaan Negeri mendahulukan kos pembiayaan sebanyak RM400 juta bagi menggantikan paip air lama di laluan sepanjang 422 kilometer di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kos menggantikan paip usang melibatkan 84 hotspot ini sepatutnya ditanggung oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAB).

“Komitmen Kerajaan Negeri, kita gantikan 422 kilometer paip bermula hari ini hingga tahun 2019 dengan pada 2016 sahaja kita mengenal pasti dan menumpukan 12 hotspot bermula di Taman Melawati yang merupakan kawasan kritikal berlakunya kebocoran dan paip pecah.

Pelancaran projek penggantian Paip Air Lama di Selangor, KL dan Putrajaya 2016 - MB Azmin (ASRI) (7)“Kita melihat projek ini sebagai suatu mendesak, maka Kerajaan Negeri mendahulukan pembiayaan Capex (perbelanjaan modal) ini bagi projek penggantian paip air dan ini kerana kalau nak tunggu PAB dan Kerajaan Persekutuan, saya tak pasti bilakah cek ini akan muncul dan Kerajan Negeri melihat ini adalah kepentingan pengguna dan Kerajaan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Penggantian Paip Air Lama di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya 2016 di Jalan Taman Melawati, di sini, hari ini.

Jelasnya, kerja menggantikan paip lama ini dijalankan secara berperingkat dengan mendahulukan kawasan-kawasan paling banyak kejadian paip pecah dan kebocoran.

Katanya, Kerajaan Negeri mensasarkan penurunan kadar air tidak berhasil (NRW) kepada 25 peratus pada tahun 2025 berbanding 34 hingga 35 peratus pada hari ini.

“Air Selangor juga melaksanakan pengurusan air secara holistik yang membabitkan kawalan kualiti kerja komitmen pengurusan dan kakitangan dan mengkaji semula kesesuaian pengambilan sumber luar secara keseluruhan kerja-kerja NRW ini,” katanya lagi.

Tambah Mohamed Azmin, kempen mengurangkan NRW ini juga membabitkan kesedaran semua pihak ekoran terdapat kejadian kecurian air oleh segelintir pemain industri dan individu.

Sementara itu dalam majlis yang turut dihadiri Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib itu, Mohamed Azmin menurunkan paip air baru pada laluannya dengan menggunakan jentolak sebagai simbolik bermulanya kerja-kerja menggantikan paip lama.

EZY


Pengarang :