Selangorkini
NASIONAL

KPN diminta bertindak terhadap Pemuda Umno lakukan demonstrasi ganas

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 JUL: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar diminta mengambil tindakan tegas terhadap Pergerakan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan yang didakwa berdemonstrasi ganas di hadapan Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur, semalam.

DAP mendakwa tindakan perlu diambil terhadap kumpulan terbabit berikutan pendekatan melampau dipraktikkan mereka dengan membaling ‘wang neraka’ ke arah wakil parti politik itu, Chu Yoon Ming, yang menerima memorandum bantahan berkenaan.

Setiausaha Organisasi DAP Pusat, Anthony Loke, berkata pihaknya mengutuk keras tindakan demonstrasi ganas dan berunsur ugutan dilakukan Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan diketuai Ketuanya, Mohd Razlan Muhammad Rafii.

ANTONY LOKE“Tindakan membaling ‘wang neraka’ bukan sahaja tidak menghormati adat resam masyarakat Cina malah ia tindakan ‘intimidasi jenayah’ kerana membawa maksud ugutan membunuh seseorang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, DAP membuat laporan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu terbabit dalam ugutan itu.

Beliau berkata, DAP menghargai peranan anggota polis mengawal keadaan dan keselamatan dalam kejadian itu, namun pihak atasan khususnya Ketua Polis Negara perlu mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap individu bertanggungjawab dalam demonstrasi ganas yang cuba merempuh kawalan polis.

“Ini bukan kali pertama demonstrasi ganas dilakukan mereka di pejabat DAP Ibu Pejabat DAP. Pada 2014, Mohd Razlan juga bertindak ganas dan mengugut membakar bangunan ini.

“Walaupun enam termasuk Mohd Razlan ditahan polis untuk siasatan tetapi tiada sebarang tindakan pendakwaan diambil terhadap mereka sehingga kini.

“Kegagalan polis mendakwa dalam kes ugutan membakar Ibu Pejabat DAP menyebabkan pelaku semakin berani bertindak di luar batasan undang-undang. Kami mendesak polis memberikan penjelasan status kes itu secepat mungkin,” katanya.

BAJU MERAHAhli Parlimen Seremban itu berkata, tindakan pihak berkaitan UMNO seolah-olah ada kekebalan undang-undang ekoran demonstrasi pada semalam tidak memenuhi syarat Akta Perhimpunan Aman.

Beliau mempersoalkan sama ada tindakan pendakwaan akan diambil terhadap penganjur demonstrasi terbabit.

Katanya, ramai pemimpin Pakatan Harapan termasuk dirinya didakwa di bawah akta terbabit walaupun semua demonstrasi dianjur atau disertai adalah demonstrasi aman dan tiada sebarang unsur ugutan.

“‘Kekebalan’ pihak UMNO dalam perkara ini hanya akan memperkuatkan persepsi umum terdapat “double standard” dalam penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan terpilih di negara kita.

“Kita menyeru Ketua Polis Negara yang selalu bertindak cepat melalui Twitter, untuk mengarahkan siasatan segera dan tindakan tegas diambil terhadap penganjur demonstrasi ganas semalam,” katanya.

-nR-


Pengarang :