Selangorkini
SELANGOR

Pelan dua ‘I’ lahir atlet Selangor berdaya saing

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 JULAI: Pelan perancangan pembangunan sukan dengan konsep dua ‘I’ dijadikan sebagai agenda
mengembalikan semula kegemilangan atlet Selangor di persada negara.

Pengarah Esekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Zubir Idrus, berkata pelan pembangunan jangka panjang itu bertujuan melahirkan atlet berkualiti serta berdaya saing di peringkat tertinggi.

“Awal tahun ini kita adakan simposium sukan sebagai medium menyampaikan hasrat pembangunan jangka panjang untuk tempoh lima tahun akan datang.

ZUBIR“Antara usaha lain termasuklah ‘blue print’ pelan perancangan pembangunan sukan dengan konsep dua ‘I’.

“Ia bermaksud ‘incomprehensive’ dan ‘intergrating’ yang akan menjadi pelan untuk melahirkan atlet cemerlang dalam kejohanan sukan besar selepas ini,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata inisiatif pembangunan sukan negeri boleh diterapkan secara efektif menerusi gagasan Smart Selangor.

Beliau berkata, fungsi Smart Selangor boleh diterapkan secara berkesan dengan memberi tumpuan kepada perubahan pengukuhan MSN Selangor ke arah melahirkan atlet berdaya saing di peringkat global.

“Kita menyambut baik usaha Kerajaan Negeri secara konsisten mewujudkan dasar peduli rakyat yang turut memberi tumpuan kepada bidang sukan.

“Fungsi pembangunan sukan boleh ditingkatkan lebih efektif pada masa depan dengan mengaplikasikan dasar Smart Selangor itu.

“Saya percaya pelaksanaan gagasan ini membuka peluang besar kepada pembangunan sukan negeri selepas ini,” katanya.

-AA-


Pengarang :