Selangorkini
SELANGOR

Piawaian tinggi, KDEB fokus selesai 100% aduan sampah penduduk

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 18 JULAI: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) menetapkan piawaian tinggi bagi memastikan aduan dibangkitkan penduduk terhadap isu sampah di Majlis Perbandaran Klang (MPK) dapat diselesaikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, Dr Fahmi Ngah, berkata pihaknya mensasarkan 80 peratus aduan penduduk diselesaikan dalam tempoh kurang seminggu.

“Setakat ini operasi KDEB sejak 1 Julai lalu, kita sudah menerima 360 aduan dengan 98 peratus daripada aduan tersebut diselesaikan.

“Minggu ini saja kita ada menerima banyak aduan dengan jangkaan setiap minggu kita mampu menyelesaikan 80 peratus aduan itu,” katanya kepada SelangorKini.

KDEBWM menerusi Pusat Kawalannya, (Command Centre) beroperasi tujuh hari seminggu menjalankan kerja pengawalan dan pemantauan kutipan sampah di sekitar 60 zon kawasan MPK.

Inisiatif tersebut kata Dr Fahmi dibuat sebagai jaminan kesejahteraan penduduk Klang supaya permasalahan tersebut dapat diselesaikan sepenuhnya.

Bagaimanapun katanya, KDEB menerima aduan tinggi berhubung isu sampah di Klang susulan proses pengambilalihan pengurusan sampah domestik di Majlis Perbandaran Klang bermula Julai lalu.

“Peringkat awal wujudnya sedikit masalah kerana sampah yang kita kutip ini adalah baki daripada kontraktor lama.

“Jadi kita giat mengutip sampah itu sejak dua minggu lalu dengan mengarahkan kontraktor mengutip sampah berkenaan siang dan malam.

“Apabila keadaan mula stabil, kita akan pastikan setiap aduan itu akan diselesaikan dalam tempoh dua hari,” katanya.

Command Centre boleh dihubungi menerusi talian 019-2742824 (talian Whatsapp), 019-375 9592, 019-375 3980, talian bebas toll STARS di 1-800-
88-2824.

Selain itu, penduduk Klang juga boleh membuat aduan terus menerusi Emel di alamat [email protected]

EZY


Pengarang :