Selangorkini
SELANGOR

Rozana tabah harungi Ramadan dan Syawal tanpa suami

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 JUN: Setiap kali menjelang Ramadan, Penyelaras DUN Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri akan memastikan dia berada di rumah sebelum Maghrib untuk berbuka puasa bersama isteri dan anak-anak.

Baginya tiada yang lebih menggembirakan daripada berbuka puasa bersama keluarga tercinta.

Namun, keadaannya berbeza tahun ini. Ketiadaan Mohd Yahya dirasakan begitu janggal buat isterinya, Rozana Zainal Abidin, 49, dan empat anaknya yang terpaksa menyambut Ramadan dan Syawal tanpa beliau di sisi.

Penyelaras DUN Permatang, Rozana“Selama 26 tahun saya hidup bersama dia, inilah pengalaman pertama saya menyambut Ramadan dan Syawal hanya dengan anak-anak sahaja. Puasa dan raya kali ini memang paling mencabar sekali.

“Mustahil kalau tidak sedih. Selalu terfikir apa yang dia makan dalam keadaan dia di sana.

“Dia memang jarang berbuka di luar melainkan kalau sudah tidak dapat dielakkan. Dia memang suka berbuka di rumah dengan keluarga tetapi sekarang dia berseorangan,” kata Rozana dengan nada suara sebak kepada SelangorKini.

Ketika menyentuh persiapan menyambut Syawal, Rozana berkata, Mohd Yahya mahu beliau dan anak-anak meraikan Aidilfitri seperti biasa.

“Dia suruh kami kuatkan semangat, sambut puasa dan raya macam biasa. Saya membuat persediaan raya secara ala kadar sahaja.

“Memang semasa dia ada pun kami buat begitu juga. Kita teruskan macam biasa. Mujur anak-anak sudah besar dan mereka faham,” katanya.

Rozana berkata, beliau berpeluang bertemu Mohd Yahya kali terakhir di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada 27 Jun lalu ekoran suaminya terbabit dalam perbicaraan kes saman malu.

YAHYADalam pertemuan itu, Rozana dan anak-anak berpeluang bersalaman dengan Mohd Yahya buat kali pertama sejak dipenjarakan pada Mac lalu.

“Pada masa itulah kali pertama kami dapat bersentuhan dan sebelum balik kami sempat bersalaman raya kerana kita tahu kita tidak dapat bersalaman nanti.

“Anak-anak semua juga ada sama untuk bertemu ayah mereka. Dia nampaknya sihat dan sudah ada kerja sebagai penjaga Blok Gemilang, blok dia ditempatkan,” katanya.

Katanya, Mohd Yahya juga sempat menceritakan serba sedikit keadaan beliau berpuasa di dalam penjara.

“Keadaan di sana, bersahur jam 12.00 tengah malam dengan makanan berat manakala jam 5.00 pagi bangun balik dia minum atau makan sedikit seperti kurma.

“Kerja saya sekarang menghitung hari. Sudah lebih 118 hari dia di dalam. Kami perlu terima hakikat, inilah dugaan kami sekeluarga. Kami sentiasa mendoakan dia dalam keadaan baik,” katanya.

-AA-


Pengarang :