SELANGOR

Selangor intai pemain tempatan, hadapi saingan Liga Malaysia

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 JULAI : The Red Giants sedang mempertimbang hasrat mendapatkan beberapa pemain tempatan dan import bagi mengisi skuad kesebelasan utama pasukan itu.

Pengurusnya, Amiruddin Shari, berkata keputusan tersebut dibuat selaras kesungguhan pasukan itu untuk terus mengekalkan misi kejuaraan Piala Malaysia tahun lalu.

“Kita sudah ada beberapa nama yang sudah kita pertimbangkan, terdiri daripada pemain import dan tempatan.

“Jika ia mampu dilaksanakan, menjelang saingan akan datang kita akan pastikan nama-nama pemain itu.

“Cuma ketika ini kita sahkan, Ugo Ukah sebagai pemain import yang akan mengisi kekosongan pertahanan Selangor,” katanya.

Beliau bercakap kepada SelangorKini pada sesi tayangan perdana perlawanan akhir Euro 2016 di Gastro Seksyen 20, malam tadi.

Skuad Red Giants kini sedang melakukan rombakan pemain-pemainnya bagi mengukuhkan lagi benteng pertahanan pasukan itu.

Sehingga kini, Ugo Ukah mengesahkan tempat sebagai pemain import baru bagi mengisi slot ditinggalkan Robert Cornthwaite yang dilepaskan FAS.

Dalam perkembangan berlainan, Amirudin turut mengulas prestasi Red Giants sepanjang aksi sepak mula berlangsung tahun ini.

“Prestasi kita agak baik berbanding tahun lepas, namun kerana reputasi kita sebagai juara Piala Malaysia, kita menerima persepsi agak tinggi daripada peminat.

“Tetapi jika diukur dari aspek persembahan kita sebenarnya jauh lebih baik sedikit berbanding musim lepas contohnya segi kutipan mata dan jaringan gol,” katanya.

Bagaimanapun katanya, wujud kelemahan membabitkan aspek keserasian antara pemain yang perlu diperbaiki dalam mengharungi saingan akan datang.

-nR-


Pengarang :