Selangorkini
SELANGOR

Teruskan perjuangan Ramadan ketika menyambut Syawal

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 7 JULAI: Umat Islam di negara ini khususnya rakyat Selangor disaran menyambut Aidilfitri secara sederhana serta menjadi insan lebih baik selepas menempuh Ramadan penuh barakah.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata perjuangan ketika Ramadan perlu diteruskan dalam bentuk peningkatan amal ibadah dan menewaskan hawa nafsu sepanjang masa.

“Setiap Ramadan dilalui sepatutnya menjadikan kita lebih baik dari tahun sebelumnya.

ISKANDAR SAMAD“Ketika kita merayakan Syawal penuh barakah ini, jangan dilupakan umat Islam tidak bernasib baik di Palestin, Syria, Myanmar dan Xinjiang dengan mendoakan keselamatan dan kesejahteraan mereka.

“Sambutlah Aidilfitri dengan penuh sederhana serta jangan lakukan pembaziran,” katanya dalam kenyataan media.

Pada masa sama, Iskandar turut mengambil kesempatan memohon ampun dan maaf kepada semua masyarakat di Selangor tanpa mengira bangsa, agama dan status sosial.

Beliau berkata, persefahaman dalam kalangan masyarakat perlu ditingkatkan serta memperbetulkan persepsi salah terhadap Islam.

“Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana Kerajaan Negeri dapat terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab membangunkan negeri walaupun berlaku sedikit keributan politik, namun ketiga parti dalam Pakatan terus memberi tumpuan kepada agenda rakyat.

“Kajian dilakukan menunjukkan rakyat berpuas hati dengan Kerajaan Negeri dan mereka tidak mahu kembali kepada zaman gelap sebelum 8 Mac 2008.

“Maka adalah menjadi tugas dan tanggungjawab pemimpin kerajaan dan politik untuk mencari satu formula supaya rakyat tidak dikecewakan melalui kaedah tidak mengorbankan prinsip mana-mana pihak,” katanya.

-AA-


Pengarang :