Selangorkini
NASIONAL

UUM patut tumpu misi pendidikan bukan jadi ‘pengendali’ hotel

SHAH ALAM 26 JULAI: KEADILAN kecewa dan terkejut dengan laporan media memetik kenyataan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Mohamed Mustafa Isak bahawa UUM akan mengambil alih beberapa hotel di Lembah Klang dan Pulau Pinang bagi menjana pendapatan universiti itu.

Pengarah Strategi KEADILAN, Sim Tze Tzin, berkata universiti tidak patut ditukarkan kedudukannya untuk menjadi pengendali hotel sementara tidak patut hilang tumpuan dan menyimpang daripada objektifnya sebagai institusi pendidikan.

“Mengapakah sesebuah universiti awam perlu menceburkan diri dalam perniagaan untuk menjana pendapatan sendiri?

UUM_01b“Bukankah universiti awam dibiayai pihak kerajaan sementara mengutip pelbagai jenis yuran daripada penuntutnya?,” soal Tze Tzin dalam kenyataan medianya.

Katanya, peranan universiti ialah pendidikan dan bukannya perniagaan.

“Dalam kes UUM, ingin kami tanya berapakah dana diperuntukkan kerajaan sepatutnya digunakan untuk tujuan pendidikan universiti digunakan untuk pelaburan oleh UUM?,” katanya.

Beliau berkata UUM perlu mengambil iktibar terdapat banyak perniagaan ditadbir badan kerajaan tidak berjaya.

Katanya, umpamanya Perwaja dalam industri besi keluli, Proton dalam industri kereta, MAS dalam sektor penerbangan, dan yang terkini 1MDB.

“Adakah UUM terdesak untuk mencari sumber kewangan akibat pemotongan bajet sehingga perlu membuat pelaburan yang sangat berisiko tinggi?

“KEADILAN sebelum ini menyeru kerajaan agar tidak memotong peruntukan kepada IPTA tetapi seruan itu langsung tidak diendahkan,” katanya.

Sim Tze berkata Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mengalami potongan bajet melebihi RM1.4 bilion atau 16.5 peratus berbanding dengan tahun sebelum ini.

Katanya, peruntukan kepada UUM dipotong hampir 20 peratus pada 2016 berbanding tahun lepas, walaupun bilangan penuntut di UUM bertambah tujuh peratus dalam tempoh sama.

“Pemotongan peruntukan IPTA keputusan tidak bijak kerana menjejaskan kualiti pendidikan tinggi dan kini terbukti apabila sumber dan masa yang boleh digunakan untuk memperkasakan pendidikan dijuruskan ke bidang perniagaan,” katanya.

EZY


Pengarang :