SELANGOR

Hasil negeri positif, catat kutipan 82.49%

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 15 OGOS : Prestasi kewangan negeri sehingga awal Ogos ini terus mencatatkan pertumbuhan positif dengan jumlah kutipan sebanyak RM480 juta, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, jumlah tersebut direkodkan menerusi kutipan hasil RM1.86 bilion, berbanding jumlah perbelanjaan sebanyak RM1.38 bilion.

“Ini bermakna, Kerajaan Negeri mencatatkan kutipan hasil sebanyak 82.49 peratus (RM1.86 bilion) berbanding jumlah anggaran terimaan hasil tahun 2016 sebanyak RM2.25 bilion,” katanya.

Daripada jumlah itu, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri komited memastikan rizab perbelanjaan negeri diurus secara positif demi kelangsungan ekonomi negeri.

IMG_20160815_092410-1280x1022Katanya, tumpuan Kerajaan Negeri untuk terus mempelbagaikan sumber pendapatan baru sebagai nilai tambah kepada pendapatan yang lebih maksima.

“Cabaran utama Kerajaan Negeri pada masa yang akan datang ialah untuk mempelbagaikan sumber pendapatan baru selain hanya bergantung kepada hasil tanah,

“Namun fokus utamanya kita perlu meneruskan perancangan ekonomi jangka panjang yang strategik dengan unjuran tepat supaya kita tidak membentangkan belanjawan tambahan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri juga kini mensasarkan jumlah pelaburan sebanyak RM6 bilion menerusi pelbagai program dan inisiatif jangka panjang menarik pelaburan di Selangor.

Mohamed Azmin berkata, aspek pelaburan negeri berpontesi besar menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri yang lebih mampan dan berdaya saing.

-nR-


Pengarang :