Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

MASITF 2016: Peluang lonjak Selangor destinasi percutian Islamik

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 5 OGOS: Penganjuran MATTA Selangor Islamic Travel Fair 2016 (MASITF 2016) pada 26 hingga 28 Ogos ini di Encorp Strand Mall, Kota Damansara diharap mampu melonjakkan nama Selangor sebagai pusat percutian Islamik pertama di Malaysia.

Pengerusi Persatuan Pengembara Dan Agensi Pelancongan (MATTA) Selangor, Mohd Akil Mohd Yusof, berkata MASITF kali ini menyediakan pelbagai pakej percutian Muslim bagi destinasi pelancongan seluruh dunia berbanding sebelumnya yang lebih memfokuskan pakej Umrah sahaja.

Katanya, acara itu dijangka mampu menjadi landasan berkesan bagi memberi peluang kepada pengusaha dan agensi pelancongan berskala kecil juga sederhana mempromosi pelbagai pakej percutian yang memfokuskan kepada destinasi Islamik di seluruh dunia.

“Ia bukan sahaja mempromosi, malah menjual pakej pada harga istimewa sekali gus memberi pendedahan kepada agensi terbabit untuk bersaing secara sihat serta mencapai standard antarabangsa bagi memastikan kesinambungan agensi masing-masing terus kekal relevan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media MASITF 2016 di Hotel Royale Bintang, The Curve di sini, semalam.

PC Matta Fair (1)Mohd Akil berkata, lebih 50 agensi dan syarikat pengendali perkhidmatan pelancongan berlesen, agensi promosi kerajaan serta syarikat kewangan terlibat dengan pelbagai tawaran menarik.

Katanya, agensi terlibat juga berpeluang mengadakan perbincangan dengan agensi lain seperti bank, syarikat insurans dan lain-lain terutama yang beroperasi di Selangor.

“Berbeza dengan penganjuran sebelum ini yang dibanjiri kira-kira 23,000 pengunjung, MASITF kali ini dijangka meningkat dengan sasaran 50,000 pengunjung membabitkan urusniaga RM10 juta,” katanya.

Pengusaha agensi pelancongan berlesen yang berminat untuk menyertai MASITF 2016 boleh menghubungi seketariat MATTA Selangor bagi mendapat keterangan lanjut dengan menghubungi 03-55111370 atau e-mel permohonan kepada [email protected]

-AA-


Pengarang :