SELANGOR

MB: Rujuk mahkamah kalau tidak puas hati

SEPANG, 8 OGOS: Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan pihak yang masih mempertikaikan atau tidak puas hati berhubung isu penukaran status tanah di Paya Indah Wetland boleh membuat apa sahaja tindakan termasuk melalui mahkamah.

Tegasnya, Kerajaan Negeri mematuhi undang-undang dalam segala tindakan diambil berhubung perkara itu serta melakukannya secara telus.

“Rujuklah ke mahkamah kalau masih ada yang tidak puas hati,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Notis 5A – Pemberi Milikan Tanah Kerajaan kepada 16 penduduk di Desa Timah Langat.

Minggu lalu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dilaporkan berkata pihaknya mahu melakukan semakan undang-undang bagi membatalkan pembangunan dirancang di Paya Indah Wetland.

Noh berkata, pihaknya akan melantik peguam bagi melakukan semakan undang-undang untuk mendapatkan maklumat lengkap melalui carian di Pejabat Tanah Hulu Langat.

AZMIN-500x357Sebelum ini, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong menegaskan Kerajaan Selangor tidak melakukan pengezonan semula status tanah di Paya Indah Wetlands berkeluasan 450.76 hektar untuk tujuan pembangunan.

Elizabeth dilaporkan berkata, tiada sebarang permohonan untuk menukar kegunaan tanah Lot 4827 dan Lot 3974 diterima sejak termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Pusat diwakili Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Kerajaan Selangor berhubung pengurusan dan pentadbiran pemuliharaan Paya Indah Wetlands pada 1 Ogos 2007.

-nR-


Pengarang :