Selangorkini
SELANGOR

Menteri arah media BN turun ke Lembah Subang cari kesalahan?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 11 OGOS: Kerajaan Negeri kesal dengan sikap salah seorang menteri persekutuan yang baru dilantik kerana seakan mahu melancarkan perang terhadap Kerajaan Negeri berbanding pendekatan berbincang menyelesaikan masalah rakyat.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata keadaan itu sangat berbeza ketika portfolio sama disandang individu sebelumnya.

“Kerajaan Negeri boleh bincang, tiada masalah tetapi apa yang saya lihat mereka guna sikap sebagai orang politik, masuk televisyen hentam kita dan difahamkan pada Isnin minggu lalu seolah-olah media kerajaan diarahkan turun ke Lembah Subang untuk mencari apakah silap atau kekurangan di situ.

iskandar01“Kita terbuka dalam hal ini tetapi kena datang dengan berjiwa besar antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri berbincang masalah rakyat, bukan bercerita seolah-olah nak rampas Selangor.

“Menteri dahulu, Datuk Rahman Dahlan juga pernah datang berjumpa Menteri Besar dalam isu Akta 757. Saya dan Kassim Aziz beberapa kali berjumpa dengan Timbalan Menteri Perumahan, Datuk Halimah Mohd Sadique tetapi nampaknya menteri baru ini bawa budaya berbeza bukan untuk berbincang tetapi berperang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika menghadiri Majlis Makan Tengahari Bersama Penerima Skim Dana-Sel di Pangsapuri Rimba Jaya, di sini, semalam.

Mengulas isu sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail pula berkata, menteri berkenaan seharusnya memiliki jiwa besar untuk menyelesaikan masalah rakyat dengan menggunakan pendekatan ‘G to G’.

rumah-ppr“Mereka sepatutnya mengambil pendekatan ‘G to G’ (kerajaan dengan kerajaan). Janganlah fikir kita datang daripada parti politik berbeza.

“Rasanya kalau di Rimba Jaya ini kalau kami nak ungkit, ini adalah peninggalan era Barisan Nasional tetapi kita tak pandang isu ini dana bila dah jadi kerajaan kita pandang ke hadapan untuk menyelesaikan masalah menggunakan pelbagai pendekatan.

“Yang anda lihat pada hari ini sebenarnya adalah kumpulan terakhir yang kita selesaikan. Sebenarnya, ada 427 penduduk yang dijanjikan rumah baru dengan bayaran seringgit oleh kerjaan terdahulu dan sudah tiga keempat kumpulan kita selesaikan dengan tawaran pelbagai skim. Akhirnya 118 ini, Kerajaan Negeri sendiri keluarkan duit untuk selesaikan,” katanya.

-NFN-


Pengarang :