SELANGOR

MPAJ laksana program pemutihan kediaman

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 OGOS : Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melaksanakan program pemutihan kelulusan tambahan terhadap pemilik kediaman yang membuat spesifikasi pengubahsuaian tanpa mematuhi peraturan ditetapkan pihak Majlis.

Pegawai Komunikasi Korporatnya, Norhayati Ahmad, berkata program tersebut membuka peluang kepada penduduk membuat permohonan baru pengubahsuaian kediaman.

Beliau berkata, pemohon perlu mengemukakan empat set pelan siap bina (as built) sebelum proses kelulusan dibuat.

“Pelan siap bina perlu disediakan oleh arkitek atau pelukis pelan bangunan berdaftar dengan majlis.

“Pemohon perlu mengemukakan surat Aku Janji Tangungjawab oleh pemilik rumah terhadap binaan tambahan dan ubahsuaian sedia ada,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pemohon juga perlu menjelaskan bayaran fi proses pelan dengan denda pelan sebanyak 10 kali ganda beserta lampiran Cukai Pintu dan Cukai Tanah terkini.

Pemohon juga katanya perlu mendapat Surat Kebenaran Jiran dan Borang Perakuan Gambar kediaman dengan lampiran Borang A oleh arkitek atau pelukis pelan berdaftar untuk membuat permohonan lanjutan.

“Kelulusan permohonan Program Pemutihan ini tidak dapat dipertimbangkan sekiranya dikenalpasti mempunyai unsur penipuan.

“Ini termasuklah kesalahan pernah memperoleh notis dan kompaun daripada majlis, memperoleh pelan kelulusan dan kerja yang melencong daripada pelan kelulusan dikeluarkan,” katanya.

Sebarang pertanyaan, orang awam boleh menghubungi Jabatan Bangunan dan Senibina di talian 03-42968009.

EZY


Pengarang :