BERITA UTAMA SELANGOR

Bersatu ringankan penderitaan mangsa konflik – MB

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 OGOS: Masyarakat seluruh dunia diseru supaya memainkan peranan bagi membantu mangsa konflik, keganasan dan kejadian bencana alam tanpa mengira perbezaan politik, kaum dan agama.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dalam kenyataannya sempena Hari Kemanusiaan Sedunia, berkata jutaan manusia khususnya orang awam yang pada masa ini berada di kem pelarian tidak mendapat keperluan asas ekoran peperangan yang akhirnya mengakibatkan kebuluran dan kemiskinan.

“Tema tahun ini ‘One Humanity’ merumuskan betapa pentingnya untuk kita semua tanpa mengira jurang politik, kaum dan agama berdiri bersama dan melakukan yang terbaik memberi bantuan diperlukan kepada jutaan umat manusia di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan medianya di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, semua pihak yang percaya terhadap nilai maruah setiap manusia dan kesucian hidup haruslah menjalankan tugas masing-masing secara kolektif bagi meringankan penderitaan mangsa.

Katanya, penghormatan juga harus diberikan kepada pihak yang sanggup berhadapan bahaya bagi menjalankan bantuan kemanusiaan kepada golongan memerlukan.

Selangor adalah antara negeri yang aktif menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana dan konflik lain di dalam dan luar negara.

Antaranya, bantuan kemanusiaan mangsa bencana banjir di Kelantan, Cameron Highlands, Terengganu, Perak, Pahang, bantuan mangsa gempa bumi di Sabah dan bantuan mangsa konflik di Nepal dan Chechnya.

-AA-


Pengarang :