Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Pemaju EKVE jamin selesai isu tanah runtuh, penduduk tak mahu berulang

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 24 OGOS: Pemaju Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) memberi jaminan menyelesaikan masalah tanah runtuh di kawasan lapang tadika Q-Dees, Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, Ampang serta memberi bantuan sewajarnya kepada pengusaha tadika terjejas itu.

Pengurus Besar Kanan EKVE, Mohd Khalid Mohamed, berkata beliau memohon maaf dan menyedari kesulitan timbul yang membimbangkan penduduk di kawasan itu terutamanya ibu bapa kanak-kanak terbabit.

“Kita mengambil langkah penutupan sementara tadika tersebut sebagai langkah memastikan keselamatan kanak-kanak dan kakitangan terjamin.

“Kita juga mengambil langkah segera menambak dan membaiki tadika terjejas dan tindakan memantau dilakukan setiap masa sepanjang kerja pembinaan EKVE dijalankan,” katanya kepada SelangorKini

Difahamkan, berlaku kejadian tanah runtuh dan rekahan berukuran sehingga 30 cm lebar di kawasan lapang tadika Q-Dees, Taman Kelab Ukay akibat kerja pembinaan berterusan membabit tadika Q-Dees pada Ahad lalu.

DSC_8820 kecilKira-kira 50 kanak-kanak tadika terpaksa berpindah selepas rekahan muncul di taman permainan mereka.

Rata-rata penduduk memohon jaminan keselamatan daripada pihak berwajib dalam memastikan kejadian tersebut tidak berulang.

Zain Razali, 44, berkata sebelum ini penduduk kawasan tersebut pernah menyatakan kebimbangan mereka kepada pemaju projek dan kontraktor namun penjelasan mereka tidak memuaskan penduduk.

“Kita pernah menghantar surat pada September tahun lalu kepada beberapa pihak berwajib sebelum perkara ini terjadi kerana inilah yang kita takut namun berlaku.

“Ini baru permulaan projek, jadi kami mohon jaminan keselamatan dari pihak kontraktor untuk jangka masa panjang,” katanya.

Sementara itu, Lalynia Mustaffa, 42, berkata perkara itu semestinya menjadi kebimbangan khususnya bagi beliau yang duduk di kawasan hujung berdekatan sungai.

“Sebagai penduduk, tiada perkara lebih penting selain keselamatan kami di sini.

“Selain itu, apabila sungai dialihkan hidupan liar yang hilang tempat habiat mula berkeliaran di kawasan perumahan seperti biawak dan ular dan itu juga salah satu menjadi kerisauan ibu bapa untuk membenarkan anak-anak berada di luar rumah,”katanya.

Penduduk, Patricia Vijayan, 59, berkata beliau bimbang jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini membabitkan nyawa penduduk di sekitar itu.

“Kita bimbang sungai pihak kontraktor cuba alihkan mengancam rumah berada di hujung sungai kerana semakin dekat dengan rumah dan risikonya juga tinggi,” katanya.

EZY


Pengarang :